“Tiba-tiba dengar bunyi meletup sebelum kereta bergoyang’ – Pengguna LPT
BENTONG – Kejadian kebocoran tayar kenderaan akibat terlanggar serpihan besi di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) malam semalam menggemparkan pengguna lebuh raya berkenaan dan juga penduduk setempat.
Difahamkan kejadian berkenaan melibatkan tiga daerah laluan LPT1 iaitu Bentong, Temerloh dan Maran yang melibatkan puluhan buah kenderaan yang tersadai di tepi lebuh raya utama ke pantai timur itu.
Bagaimanapun setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak mengenai jumlah kenderaan terlibat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Seorang pengguna jalan raya, Mohd Amirrul Ariff Shamsudin,30, berkata, kejadian berkenaan mengejutkan dan menyebabkan dia dan pengguna jalan raya lain terpaksa menanggung kerugian.
Dia yang dalam perjalanan dari Bentong ke Lanchang kira-kira pukul 9 malam semalam berkata akibat kejadian itu dia terpaksa menanggung kerugian apabila dua tayar belakangnya bocor dan terpaksa diganti baharu.
“Selepas kira-kira dua kilometer perjalanan daripada Plaza Tol Karak saya terdengar bunyi letupan di bawah kereta dan tidak lama kemudian berasa pemanduan tidak selesa sebelum saya memberhentikan kereta di tepi jalan dan melihat tayar kanan bocor sebelum menukarkannya.
“Saya meneruskan perjalanan dan kira-kira pukul 10 malam saya berasa tayar seperti melanggar tin minuman dan selepas itu kenderaan bergoyang dan saya meneruskan perjalanan hingga ke Hentian Rehat Lanchang,”katanya.
Beliau berkata selepas melakukan pemeriksaan dia mendapati tayar belakang kirinya pula bocor dan kemudiannya telah menukar tayar baharu yang dibawa kakaknya ke situ.
“Kebetulan semasa saya menukar tayar kereta ada sebuah kereta yang dalam perjalanan ke Terengganu turut berhenti di kawasan rehat berkenaan kerana dua tayar belakangnya bocor.
“Sebelum sampai ke tempat rehat ini saya dapati ada tiga buah kenderaan tersadai di tepi jalan kemungkinan akibat tayar pancit,”katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata sebaik sahaja menukar tayar keretanya, peronda LPT telah datang untuk membantu dan meminta dia membuat laporan polis.
“Peronda LPT juga menyatakan kes itu berlaku dari Karak sampai ke Maran yang melibatkan lebih 100 buah kenderaan termasuk motosikal. Bukan paku yang ditabur seperti ditularkan kerana ia adalah besi dan serpihan besi, saya nampak berkilat di atas jalan,”katanya yang membuat laporan di Balai Polis Lanchang di Temerloh.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, setakat tengah hari ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis mengenai kejadian terbabit. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source