Pelajar naik motosikal bertiga cedera rempuh lori keluar simpang
ALOR GAJAH – Tiga pelajar sekolah mengalami patah tangan dan kaki selepas motosikal yang mereka tunggang bersama-sama merempuh sebuah lori di simpang Taman Melor, Kuala Sungai Baru di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, dua mangsa yang juga merupakan adik-beradik berusia 10 dan 14 tahun masing-masing mengalami patah kaki, luka di kepala dan patah tangan, manakala rakan 13 tahun patah tangan serta kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian kesemua mangsa menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang sama dan dalam perjalanan dari arah Kuala Sungai Baru ke Taman Desa Bayu dipercayai untuk ke rumah rakan mereka.
Katanya, setiba di lokasi motosikal ditunggang mangsa berusia 14 tahun itu telah merempuh tayar belakang sebelah kanan lori yang sedang keluar dari simpang.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan dua lagi mangsa yang membonceng telah mengalami patah tangan dan kaki serta luka pada kepala.
“Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan menerima rawatan di zon kuning,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati remaja yang menunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu, manakala motosikal digunakan telah tamat insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) pada Mac 2023.
“Setakat ini tiada saksi di lokasi yang tampil membantu siasatan, namun terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Terdahulu, satu klip video berkaitan kejadian turut tular memaparkan kesemua pelajar yang cedera dibantu orang ramai di lokasi dan rakaman CCTV ketika kejadian rempuhan itu berlaku. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source