Tanah RM1.75 juta: Jeffrey, Hang Tuah gagal merayu
PUTRAJAYA – Dua anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Jeffrey Jins dan Hang Tuah @ Shazrin gagal dalam rayuan mereka untuk mencabar kesahihan Suratkuasa Wakil (Power of Attorney) sebidang tanah seluas 0.265 hektar yang terletak di Kampong Pasir, Gombak milik pelakon itu yang kemudiannya dijual dengan harga RM2.75 juta, sembilan tahun lalu.
Ia selepas panel dua Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ravinthran Paramaguru dan bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak rayuan dua beradik itu.
Penghakiman itu dibuat selepas panel terbabit mendapati Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa Suratkuasa Wakil suratkuasa wakil yang melantik adik mereka, Putera Hang Jebat sebagai pentadbir adalah sah.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Adnan Seman yang mewakili Hang Jebat ketika dihubungi media selepas tamat prosiding itu.
Selain itu, Adnan juga menyatakan bahawa panel Mahkamah Rayuan itu turut bersetuju dengan hujahan pihaknya bahawa Seksyen 68 Akta Keterangan turut terpakai bagi mengesahkan penyempurnaan dan keabsahan PA berkenaan.
Panel terbabit turut memerintahkan Jeffrey dan Hang Tuah selaku perayu membayar kos RM10,000 kepada adik mereka, Hang Jebat yang dinamakan sebagai responden pertama. Turut dinamakan sebagai responden ialah peguam, Rosal Azimin Ahmad dan seorang wanita Barakatul Kamaria Ahmad yang merupakan pembeli tanah tersebut.
Pada prosiding hari ini, kedua-dua perayu diwakili peguam-peguam, Mohd. Iskandar Ismail, Mohamad Nasron Rashid dan
Nur Syahirah Mohd. Sani.
Hang Jebat diwakili peguam-peguam, Mohd Rizal Bahari Md. Noor dan Mohd. Amirfarid Mohd. Nawawi manakala Rosal Azimin turut diwakili peguam, Haris Md. Nor. Responden ketiga, Barakatul Kamaria diwakili peguam, Masturina Mohamad Rodzi.
Jeffrey dan Hang Tuah memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mac 2023 yang memutuskan bahawa Suratkuasa Wakil yang didakwa dipalsukan adalah sah.
Jeffrey adalah anak sulung hasil perkahwinan arwah dengan pelakon kelahiran Allahyarham Rahmah Rahmat manakala Hang Tuah pula adalah anak kedua arwah hasil perkahwinan dengan Jamilah Shukor pada tahun 1973.
Arwah juga mempunyai dua lagi anak lelaki iaitu Putera Hang Jebat, 32, dan Putera Hang Nadim, 29, hasil perkahwinan dengan Puan Sri Halijah Abdullah.
Jeffrey dan Hang Tuah memfailkan saman tersebut pada pada 3 Januari 2019 di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang antara lain menuntut perintah Suratkuasa Wakil yang ada pada Hang Jebat adalah terbatal atau tidak sah dan pindah milik hartanah kepada defendan ketiga (Barakatul Kamaria) adalah tidak sah.
Jeffrey dan Hang Tuah turut memohon agar tanah tersebut dipindah milik semula kepada mereka selain menuntut ganti rugi.
Pada 31 Mac 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa walaupun Suratkuasa Wakil yang ditandatangani oleh Allahyarham Jins Shamsuddin ditandatangani pada 9 Oktober 2013 tanpa kehadiran peguam namun ia tetap sah.
Ini kerana keterangan Rosal Azimin yang menyatakan bahawa beliau telah meminta Allahyarham Jins Shamsuddin untuk membuat tandaan selepas menyedari dokumen terbabit telah ditandatangani tanpa kehadirannya serta selepas memberikan penerangan mengenai sebab dan akibat dokumen terbabit tidak pernah dicabar mana-mana pihak.
Oleh itu, mahkamah terbabit turut menyatakan disebabkan Suratkuasa Wakil itu sah, maka isu hak milik oleh Barakatul Kamaria tidak timbul dan tidak boleh dicabar. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source