Kem pelarian Jabalia diserang, 17 maut termasuk kanak-kanak
GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap kem pelarian Jabalia, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang maut.
Serangan itu dilancarkan beberapa jam selepas penduduk di kawasan itu dipaksa berpindah semula menerusi serangan darat ketiga terhadap kem yang padat di utara Gaza sejak perang bermula setahun lalu.
Agensi Pertahanan Awam Palestin melaporkan jumlah korban termasuk sembilan kanak-kanak selepas serangan udara dilancarkan dan tentera mula memasuki kawasan itu buat kali pertama sejak beberapa bulan lalu.
Jurucakap Pertahanan Awam Palestin di Gaza, Mahmoud Basal berkata, Kem Jabalia diserang dengan pelbagai serangan dalam tempo semalaman, menyebabkan ramai mangsa cedera.
Penduduk di kawasan itu menyifatkan ia sebagai serangan paling dahsyat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada pagi Ahad, tentera Israel mengeluarkan kenyataan mendakwa pasukannya telah ‘berjaya’ mengepung kem tersebut dan sedang beroperasi di kawasan berkenaan.
Rejim tentera itu mendakwa keputusan diambil selepas menerima maklumat perisikan mengenai kehadiran kumpulan Hamas dan infrastruktur di kawasan Jabalia serta usaha Hamas untuk membina semula keupayaan operasinya.
Israel telah memusnahkan hospital, sekolah dan kawasan perumahan, dengan mendakwa Hamas beroperasi di bawahnya, namun tidak mengemukakan bukti, manakala badan-badan hak asasi manusia mendakwa serangan itu adalah jenayah perang.
Menerusi laporan dari kawasan berhampiran Hospital Kamal Adwan di Jabalia, wartawan, Moath al-Kahlout berkata, keadaan di utara semakin ‘merosot’ dengan ‘sebuah keluarga kesemuanya’ terbunuh dalam serangan pada waktu malam.
“Tentera Israel mengedarkan risalah di kem pelarian Jabalia mengarahkan orang ramai melarikan diri dari rumah mereka, dan perkembangan ini menandakan tentera Israel sedang bersiap untuk serangan lanjut. Ini mungkin membawa kepada lebih banyak kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam,” katanya.
Sementara itu, tentera Israel turut menyeru rakyat Palestin di utara Gaza untuk berpindah ke zon selamat yang ditetapkan di selatan dan tengah Gaza.
Namun, aktivis berkata, tiada tempat di Gaza yang selamat untuk rakyat Palestin, termasuk ‘zon selamat’ dan Kementerian Dalam Negeri Gaza menyeru penduduk untuk mengabaikan arahan pemindahan tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 41,870 rakyat Palestin terbunuh dan 97,166 lagi cedera sejak perang bermula pada 7 Oktober, tahun lalu. -AGENSI
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source