‘Usaha kenal pasti punca kebocoran feri ikonik sedang dijalankan’
GEORGE TOWN : Kerja-kerja menyelamat serta mengenal pasti punca kebocoran feri ikonik Pulau Pinang kini sedang dijalankan selepas feri tersebut dikesan mulai senget di Dermaga South Inner Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), di sini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, kerja-kerja berkenaan sedang dilaksanakan oleh syarikat Printhero Merchandise Sdn. Bhd. (Printhero) dengan dibantu oleh SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB).
“Tiada tumpahan minyak yang dikesan setakat ini dan pemantauan keadaan feri dibuat sepanjang masa,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beberapa keping gambar feri ikonik itu yang senget tular di media sosial hari ini dan meraih perhatian ramai memandangkan feri berkenaan mempunyai sejarah yang panjang di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, feri Pulau Pinang yang telah diberikan perjanjian pajakan kepada syarikat Printhero untuk dijadikan Feri Muzium Pulau Pinang telah ditunda keluar dari Bagan Dalam Slipway (BDS), Butterworth pada 3 Oktober lalu setelah menjalani kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian.
“Kebenaran oleh pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) kepada Printhero untuk kerja-kerja penundaan feri itu telah diberikan pada 2 Oktober lalu.
“Feri ikonik itu ditempatkan sementara di SPCT sebelum ditunda ke lokasi akhir penempatan feri muzium tersebut iaitu di Tanjong City Marina (TCM), dan pada 6 Oktober, Feri Pulau Pinang telah dikesan mulai senget ketika berada di Dermaga South Inner SPCT,” katanya.
Tambah Soon Hin, tindakan segera telah diambil oleh Printhero untuk membuat pemeriksaan dan didapati bahawa air mula memasuki ruang enjin.
“Bagi mengelakkan feri tersebut daripada karam di dermaga, pihak syarikat telah membuat keputusan untuk menunda feri tersebut ke kawasan yang lebih cetek berhampiran kawasan gudang di SPCT.
“Tindakan ini bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat (dilakukan) di samping dapat melaksanakan pemeriksaan secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source