Pendapatan pesawah dijangka merosot 20%
KANGAR: Kehidupan pesawah dikhuatiri terseksa apabila pendapatan kumpulan itu dijangka merosot sehingga 20 peratus apabila harga belian padi oleh kilang-kilang sedang menurun kepada RM1,450 berbanding RM1,800 per tan metrik.
Tindakan kilang ‘bermain’ harga dengan menurunkan harga padi khususnya ketika musim menuai ini memberi kesan besar kepada pesawah di sebalik kos jentera dan input pertanian tidak turun sebaliknya terus meningkat termasuk benih padi.
Difahamkan, antara perkara yang membawa kepada penurunan harga belian padi tersebut adalah selepas pengumuman memperkenalkan peraturan melarang campuran beras putih tempatan dengan import yang sebelum ini didakwa menjadi amalan biasa pengilang khususnya kilang-kilang besar yang mempunyai pemborong sendiri.
Pengilang terbabit selama ini didakwa berani membeli padi dengan harga lebih mahal kerana mereka mencampurkan beras berkenaan sekali gus dapat mengaut lebih dengan melabelkan beras dicampur itu sebagai beras import.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, harga belian padi secara tiba-tiba menurun sehingga RM350 per tan yang sekali gus cukup mengejutkan para pesawah yang baru bernafas dengan harga RM1,800 per tan sebelum ini.
Katanya, akibat penurunan tersebut, pesawah dijangka mengalami kemerosotan pendapatan sehingga RM1,700 per hektar dengan kos mengusahakan bendang ketika ini cukup tinggi sekitar RM5,000 bagi keluasan sama.
“Harga belian padi turun namun dalam masa harga input pertanian dan kos jentera tidak pula turun. Yang terkesan adalah pesawah. Upah tuai sekarang RM200 serelung, kos upah traktor pula tinggi RM130 bagi untuk putaran pertama.
“Benih padi pula dengan harga sehingga RM58 satu beg dan kita memerlukan lapan beg sekurang-kurangnya bagi mengusahakan sawah bagi keluasan satu hektar ini.
“Kami berharap harga belian padi ini dapat dikekalkan semula RM1,800 dan jika tidak ia akan memberi kesan yang teruk kepada pesawah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan perlu memperkenalkan beras pada satu gred sahaja seterusnya menetapkan harga siling yang tidak membebankan pengguna.
Selain itu katanya, harga beras juga perlu disemak semula memandangkan sudah 16 tahun tidak pernah disemak.
Ujarnya, harga beras pada satu gred berkenaan boleh ditetapkan antara RM35 atau RM36 bagi berat 10 sekilogram yang sekali gus tidak akan menjejaskan harga belian padi.
Kata beliau, kaedah memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import dilihat tidak relevan dan bagaimana mekanismenya untuk tahu beras import dan tempatan kerana ia sama sahaja.
“Adakah penguat kuasa akan diletakkan sepanjang masa di kilang-kilang untuk memantau perkara berkenaan? Agak mustahil untuk memantau sepanjang masa.
“Selama ini, kebanyakan kilang besar yang mempunyai pemborong sendiri mencampurkan beras ini. Mereka berkemungkinan juga akan kembali menurunkan harga belian padi jika tidak boleh lagi mencampurkan beras tersebut.
“Untuk mengelakkan manipulasi beras tempatan yang dicampurkan dengan beras import oleh mereka yang tidak bertanggung jawab, saya cadangkan supaya pihak kementerian adakan hanya satu gred beras putih dengan satu harga maksimum ditetapkan pada kadar tidak membebankan pengguna dan juga mampu memberi pendapatan yang setimpal kepada petani,” ujarnya.-UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source