Penat bukan alasan ‘DinFei’ kalah awal
BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terlepas peluang untuk meraih kejuaraan hatrik selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark yang berlangsung di Odense.
Pada perlawanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena semalam, beregu No. 8 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 13-21, 13-21 kepada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puvaranukroh.
Meskipun baru sahaja beraksi pada perlawanan akhir Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, Ahad lalu, namun Izzuddin enggan menjadikan faktor kepenatan sebagai alasan terhadap kekalahan yang dialami.
Sebaliknya, dia menganggap pemain lawan menampilkan aksi lebih baik selain mengakui, mereka perlu memperbaiki kekuatan fizikal dan mental bagi mengekalkan rentak konsisten untuk tempoh yang lama.
“Kami sudah berikan yang terbaik hari ini (kelmarin) tetapi lawan bermain lebih baik. Ia (kepenatan) bukanlah alasan kerana kami kalah, ia bermakna kami perlu memperbaiki kekuatan fizikal dan mental,” kata Izzuddin kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sze Fei-Izzuddin dianggap sebagai beregu lelaki yang memiliki prestasi terbaik ketika ini selepas menampilkan aksi cemerlang dengan memenangi dua kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka Arctic minggu lalu dan Terbuka China bulan lepas.
Pasangan yang lebih dikenali dengan julukan DinFei itu akan melakukan persiapan untuk kejohanan seterusnya iaitu Kumamoto Masters di Jepun bermula 12 hingga 17 November ini.
Setakat ini, mereka berada dalam landasan terbaik untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada Disember depan apabila menghuni kedudukan ketiga ranking Jelajah Dunia. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source