Kenaikan gaji minimum jejas sektor PKS, untung pekerja asing
PETALING JAYA: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bakal terjejas teruk dengan pengumuman mengenai kenaikan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 dalam pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng berkata, mereka telah berulang kali menggesa kerajaan untuk melihat alternatif lain bagi meningkatkan gaji rakyat Malaysia.
“Kerajaan harus fikirkan alternatif, bukannya menyemak semula gaji minimum. Namun, kerajaan memilih jalan mudah dengan menetapkan kenaikan gaji sehingga RM1,700.
“PKS di Sabah dan Sarawak terutamanya akan menghadapi kesukaran untuk melaksanakan gaji minimum itu dan kita boleh menjangkakan ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan akibat pengumuman ini.
“Pengumuman kenaikan itu juga akan memberi kesan negatif kepada golongan B40 yang kebanyakannya bergantung kepada kerja separa mahir, kerana ini akan menjadi antara pekerjaan pertama yang dikurangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, gaji minimum merupakan dasar yang ketinggalan dan tidak lagi sesuai dalam ekonomi pasca Covid-19 yang semakin digital.
“Di pusat bandar seperti Lembah Klang, selatan Johor dan Pulau Pinang, gaji median sudah jauh lebih tinggi daripada RM1,700 seperti diumumkan hari ini.
“Selain kehilangan pekerjaan, kita juga menjangka berlaku pengurangan gaji dalam kalangan golongan M40, manakala pekerja asing akan menjadi penerima manfaat terbesar kesan kenaikan gaji minimum ini,” ujarnya.
Sementara itu, William berkata, Sementa memahami keperluan untuk menambah pendapatan kerajaan, namun pengumuman mengutip cukai dua peratus ke atas dividen akan menjejaskan pemilik PKS.
“Kita perlu ingat bahawa sebahagian besar dividen akan disalurkan kepada pemilik PKS, bukannya pelabur senyap atau rawak seperti dalam kes syarikat tersenarai.
“Ramai pemilik PKS tidak mengambil gaji, disebabkan oleh aliran tunai yang ketat yang dialami kebanyakan PKS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Oleh itu, mengenakan cukai ke atas dividen daripada pendapatan yang sudah dikenakan cukai bukan sahaja satu bentuk cukai berganda, tetapi juga akan menghalang PKS daripada mengembangkan perniagaan mereka atau mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata, geran padanan untuk latihan industri yang akan diuruskan oleh TalentCorp akan membantu mengurangkan masalah kekurangan bakat dalam kalangan PKS, sambil membolehkan lebih ramai pelajar mendapat pengalaman praktikal.
“Ini satu-satunya aspek positif untuk PKS yang kami lihat daripada Belanjawan 2025,” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source