Isu sijil halal: Teresa saman Dr. Akmal
KUALA LUMPUR – Naib Presiden DAP, Teresa Kok Suh Sim memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung isu sijil halal.
Teresa selaku plaintif mengemukakan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners dengan menamakan Dr. Muhamad Akmal selaku defendan tunggal di Mahkamah Tinggi Melaka pada Isnin lalu.
Sebelum ini kemelut antara mereka timbul selepas Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Ekoran itu, menerusi satu hantaran video di Tik Tok, Dr. Muhammad Akmal melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.
Beliau turut meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin DAP itu.
Sebelum ini, peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili plaintif berkata, berdasarkan dokumen surat tuntutan (LOD), kenyataan fitnah dalam video di aplikasi sosial, telah merujuk anak guamnya secara langsung dan tidak langsung, dengan gelaran yang jelik.
Katanya, pemimpin DAP itu mendakwa, setakat September lalu, rakaman tersebut telah ditonton lebih 720,500 kali, dengan tanda suka sebanyak 75,000, 9,314 komen, 6,162 kegemaran dan sejumlah 8,784 perkongsian.
Kenyataan itu kemudian diterbitkan semula melalui pelbagai saluran media sosial termasuk portal berita.
Beliau berkata, ulasan berkenaan adalah palsu, melampau, keterlaluan, keji dan mengelirukan termasuk mencemarkan nama baik anak guamnya secara serius.
Justeru Teresa menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap Dr. Muhamad Akmal selain memohon injunksi untuk menghalang Akmal daripada terus menyebut, menulis atau menerbitkan perkataan yang memfitnahnya serta relif lain yang difikirkan adil serta sesuai oleh mahkamah.
Terdahulu Teresa dilaporkan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas mendakwa Dr. Muhamad Akmal mahu menampal logo tidak halal pada dahi ahli Parlimen daripada DAP tersebut.
Kemudian Dr. Muhamad Akmal dalam satu hantaran media sosialnya pula menyatakan beliau bersedia untuk berhadapan dengan tindakan saman oleh Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source