Akademi silat berupaya majukan pesilat di Kedah
ALOR SETAR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Kedah akan menyegerakan pembinaan sebuah akademi seni mempertahankan diri itu khusus bagi melatih pelapis silat di negeri ini yang berpotensi mewakili Malaysia.
Penaung Pesaka Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, prasarana yang dirancang di Gurun, dekat sini amat diperlukan kerana Kedah memiliki ramai bakat dalam dunia persilatan yang rata-ratanya kini masih di bangku sekolah rendah.
“Buat masa ini Pesaka Kedah mahu fokus untuk membawa atlet Kedah berusia 14 hingga 17 tahun mewakili Kedah di Sukma 2026. Selepas itu kita akan bincang lebih mendalam untuk penubuhan akademi, supaya perkembangannya menjadi lebih cantik dan teratur.
“Kita telah nampak hasil dengan kehadiran pesilat-pesilat dalam kejuaraan ini, ada bakat-bakat baharu yang memang versatil, yang boleh melakukan satu transformasi dalam dunia silat ini khususnya di negeri ini untuk mewakili Kedah di peringkat kebangsaan dan juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.
Menurut Zuraidi, kejuaraan silat terbesar di negeri ini yang kali terakhir diadakan kira-kira 23 tahun lalu itu turut mendapat penyertaan pesilat dari beberapa negara Asean dan akan dijadikan acara tahunan Pesaka Kedah sebagai medan mencungkil bakat-bakat baharu sukan silat.
“Pada tahun hadapan kita akan anjur kejuaraan ini dengan skala yang lebih besar dengan melibatkan jemputan di peringkat antarabangsa termasuk dari Eropah untuk kita tampilkan mereka di negeri Kedah ini,” katanya.
Kejohanan yang dianjurkan Pesaka Kedah dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia (PSSPGM) itu bermula Jumaat lalu dan mempertandingkan pelbagai kategori yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM56,000.
Sementara itu, PSSPGM dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas berjaya membawa pulang 18 pingat emas, 11 perak dan 14 gangsa dalam kejuaraan itu.
Jurulatih PSSPGM, Azrul Qursairy Zaharudin, 37, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Hi Tech, Kulim menyifatkan kejayaan itu antara yang amat membanggakan barisan jurulatih sepanjang menyertai pelbagai kejohanan.
“Kami terharu dan amat bangga dengan pencapaian para pesilat yang bertungkus lumus meraih kejayaan. Selepas ini mereka akan mewakili Kedah untuk Kejohanan Silat Remaja Kebangsaan di UiTM Puncak Alam.
“Jika berjaya, kita akan mewakili negara pula untuk Kejohanan Silat Remaja Dunia di Abu Dhabi. Kami selaku jurulatih akan berusaha sebaik mungkin untuk menjasikan pesilat kita paling unggul dalam sukan ini,” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source