Negara, PH masih perlukan Anwar
KOTA BHARU: Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan menganggap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih diperlukan selaku Pengerusi PH dan Perdana Menteri dalam konteks kepimpinan negara.
Ketuanya, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, sungguhpun Anwar kini menghampiri penggal akhir sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun masih banyak cara untuk daya kepemimpinan Anwar mewarnai landskap politik dan kepimpinan negara.
“Mengetuai sesuatu parti politik adalah kelebihan bagi seseorang pemimpin tetapi masih banyak cara untuk beliau terlibat dalam aktiviti masyarakat terutama dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
“Tidak perlu terhad kepada presiden parti politik kerana beliau mempunyai banyak cara atau platform untuk menyumbang bakti, khususnya dalam politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan dan Eksplorasi Remaja Gemilang di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Chempaka di Tanjong Mas, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama itu memberitahu, Anwar juga mempunyai peranan sangat besar dalam membentuk kekuatan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Katanya, dalam konteks Kelantan yang mana komponen terbesar Kerajaan Perpaduan adalah PH dan Barisan Nasional (BN), Anwar masih mempunyai peranan sangat besar kerana rakyat mahu melihat PH menjadi gabungan politik yang kuat di negeri ini.
“Dengan pemilihan pucuk pimpinan baharu, kita harap dan yakin PH boleh menawarkan satu kepemimpinan baharu yang boleh membawa perubahan sebenar kepada Malaysia termasuk Kelantan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hafidzah yang juga Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Kelantan berkata, Anwar juga telah menunjukkan prestasi membanggakan selaku pemimpin negara apabila berjaya membawa suara Malaysia ke mata dunia.
“Beliau merupakan seorang tokoh pemimpin yang betul-betul melaksanakan apa yang dikata. Bagi saya untuk penggal ini beliau dan Kerajaan Perpaduan berjaya membawa suara kita ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
“Langkah menyertai BRICS contohnya, umpama satu cahaya baharu buat negara dan kita harap di bawah kepimpinan beliau, Malaysia akan benar-benar menjadi Harimau Asia atau lebih dari itu,” ujarnya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, Pemilihan PKR yang dijangka berlangsung tahun depan adalah penggal terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Presiden parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, Perlembagaan parti hanya membenarkan setiap Presiden memegang jawatan selama tiga penggal.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau tidak lagi memegang jawatan Presiden PKR. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source