Format baharu PRU Parlimen Belia potensi wujud politik wang
GEORGE TOWN – Format baharu pemilihan perwakilan Parlimen Belia yang dijangka diadakan pada Mac tahun depan dikatakan berpotensi mengundang isu politik wang dan pengaruh pihak tertentu.
Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Danial Alimin berkata, cadangan format yang menyerupai sistem Pilihan Raya Umum (PRU) yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sememangnya tidak dipersetujui sama sekali.
Menurutnya, pemilihan sepatutnya lebih menitikberatkan kualiti kepimpinan dan kemampuan berhujah, bukan sekadar populariti.
“Pendekatan ini juga mungkin akan meminggirkan pelajar yang kurang berpengaruh, tetapi mempunyai potensi besar dalam kepimpinan.
“Cadangan untuk menggunakan sistem pengundian baharu juga menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan keadilan proses tersebut. Kita tidak mahu melihat Parlimen Belia menjadi platform yang dipolitikkan atau disalahgunakan,” katanya di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Johari menerusi satu sidang akhbar berkata, Parlimen ketika ini sedang memperkemas rombakan format Parlimen Belia yang diambil alih sepenuhnya daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pencalonan perwakilan juga akan dipilih dalam kalangan mahasiswa Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara sahaja. Selain itu, jumlah perwakilan Ahli Parlimen Belia akan diperluas daripada 100 kepada 222 orang.
Muhammad Danial memberitahu lagi, cadangan untuk mengehadkan pemilihan calon dalam kalangan mahasiswa UA dan IPTS berpotensi menafikan hak penyertaan belia yang tidak berada dalam lingkungan institusi pengajian tinggi (belia tercicir).
“Ini bermaksud, kita akan meminggirkan suara belia di luar sistem pendidikan formal yang juga mempunyai pandangan kritikal dan pengalaman unik. Parlimen Belia seharusnya menjadi wadah inklusif untuk semua belia Malaysia, tanpa mengira latar belakang pendidikan.
“Proses pencalonan tidak seharusnya mengehadkan penyertaan kepada mahasiswa UA dan IPTS sahaja. Saya menyeru agar Parlimen Belia turut membuka ruang kepada belia yang aktif dalam NGO, sukarelawan, dan pelbagai sektor lain.
“Walaupun penambahan jumlah perwakilan kepada 222 orang dilihat sebagai usaha memperluas penyertaan, namun tanpa perancangan dan pemantauan yang jelas, ia mungkin hanya akan menambah kos pentadbiran tanpa memberi impak ketara kepada kualiti perbahasan,” ujarnya.
Justeru, tambah Muhammad Danial, adalah wajar untuk mengadakan sesi libat urus bersama semua belia dari pelbagai latar belakang terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh dan selaras dengan semangat demokrasi yang ingin diterapkan dalam generasi muda. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source