Kerakyatan warga China: ‘Bukan sahaja maklumat tersasar, tapi sudah jadi fitnah’
KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kesal dengan tindakan seorang khatib di sebuah masjid di Padang Serai, di sini yang mengupas isu pemberian warganegara kepada rakyat China dengan fakta tidak tepat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, khutbah yang disampaikan khatib terbabit ketika solat Jumaat, semalam tidak sewajarnya berlaku ketika institusi itu sepatutnya menjadi tempat menyampaikan pesanan yang bertakwa.
Menurutnya, beliau percaya teks asal khutbah yang disediakan oleh pihak berkuasa agama tidak langsung menyebut tentang perkara itu tetapi diulas sendiri oleh khatib berkenaan.
“Saya telah menerima aduan awal di mana khutbah Jumaat di masjid itu menyentuh tentang pemberian warganegara kepada rakyat China yang jumlahnya lebih 1 juta orang.
“Apabila pentas khutbah dijadikan tempat kononnya untuk kupas isu semasa, bukan sahaja maklumatnya tersasar tapi sudah jadi fitnah dan jemaah tiada pilihan untuk beredar kerana mahu tunaikan solat Jumaat,” katanya.
Saifuddin mendedahkan perkara itu pada sidang akhbar Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Dublin di sini, hari ini.
Semalam, beliau ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) di Dewan Rakyat menafikan dakwaan kononnya 1.2 juta pelancong rakyat China masuk ke Malaysia dan tidak keluar semula.
Tambah Saifuddin, pihaknya turut kesal kerana isu itu terus dimainkan meskipun KDN sudah berkali-kali menjelaskan perkara itu termasuk oleh Menteri Dalam Negeri sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Walaupun sudah dibetulkan fakta, diberi keterangan tapi fitnah itu masih terus lagi menyemarak dan yang paling malang apabila institusi masjid dijadikan sebagai pentas yang sepatutnya jadi tempat sampaikan pesanan bertakwa, seru amal makruf nahi mungkar, ajak orang tegak keadilan dan jauhi kezaliman.
“Perkara ini sangat dikesalkan kerana mencemarkan sama sekali institusi masjid. Saya mahu ulangi gesaan supaya institusi masjid terutama pimpinan daripada membenarkan para khatib menggunakan platform khutbah untuk sampaikan bahan-bahan yang jauh terpesong,” ujarnya.
Katanya, polis terus memantau perkembangan kes itu dan pasukan khas 3R Bukit Aman akan melengkapkan siasatan sekiranya melibatkan aspek 3R iaitu salah guna institusi masjid untuk semarak perasaan kebencian dan permusuhan berasaskan perkauman.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin tidak pasti motif sebenar pihak yang menularkan kes hak milik tanah di Kuala Kedah yang kononnya melibatkan salah laku pihak berkuasa termasuk polis.
“Perkara ini berlarutan terlalu lama dan pertikaian itu sudah sampai ke Mahkamah Persekutuan yang mana keputusan tidak berpihak kepadanya. Bahkan pengadu sendiri buat 76 laporan polis yang kesemuanya disiasat, jadi kita akan terus selesaikan perkara ini sehingga ke akhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source