JDT, Buriram ‘buntu’, aksi dicemari tiga kad merah
ISKANDAR PUTERI: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengutip tiga mata ketika melayan kunjungan Buriram United tidak kesampaian apabila terikat tanpa jaringan dalam pertemuan peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), sebentar tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini dicemari insiden kekasaran dengan tiga kad merah dilayangkan pengadil perlawanan dalam aksi 90 minit itu.
Pada awal permainan, pasukan kendalian Osmar Loss tampak menguasai permainan apabila mendominasi bahagian tengah dengan Lucas Crispim bertindak sebagai arkitek.
Crispim bijak membaca permainan setelah melorongkan bola kepada Dion Cools yang melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan Murilo Santos selaku pemain terakhir bagi menghalangnya melakukan percubaan ke arah gol pada minit ke-10.
Pengadil perlawanan, Khalid Saleh Alturais awalnya menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat dan kad kuning kepada Murilo.
Namun, dia mengubah keputusan itu selepas semakan bantuan video (VAR) setelah mendapati kekasaran berlaku di luar kotak penalti dan melayangkan kad merah kepada Murilo atas kekasaran dilakukan.
Bermain dengan 10 pemain mendatangkan resah buat Hector Bidoglio apabila pasukannya diasak oleh pasukan lawan yang cuba mengambil kesempatan atas kelebihan tersebut, namun benteng pasukan tuan rumah yang dibarisi Eddy Israfilov, Park Junheong dan Shane Lowry tetap ampuh.
Biarpun lebih banyak bertahan, skuad Harimau Selatan sesekali melancarkan serangan dan Bergson Da Silva berupaya melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol Buriram United namun tidak berjaya mengatasi penjaga gol, Neil Leonard Etheridge pada minit ke-26.
Peluang terbaik kelab dari negara gajah putih itu hadir pada minit ke-39 menerusi sepakan voli yang dilepaskan oleh Crispim ke arah pintu gol tetapi berjaya dihadang oleh Israfilov.
Pada minit ke-44, giliran Buriram United pula beraksi dengan 10 pemain setelah Kapten, Theerathon Bunmathan dilayangkan kad merah setelah melakukan kekasaran terhadap Arif Aiman Hanapi.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan yang bermain dengan 10 pemain masih berupaya bermain dengan intensiti tinggi serta corak permainan pantas bagi memburu gol pembukaan.
Penyerang Buriram United, Guilherme Bissoli dan mesin gol JDT, Bergson masing-masing mempunyai peluang tepat ke arah pintu gol lawan, namun tidak berjaya menghasilkan gol.
Etheridge beraksi cemerlang sebagai benteng terakhir kelab dari Thailand itu apabila menafikan beberapa percubaan tepat ke pintu gol yang dilakukan Bergson, Iker Undabarrena dan Heberty Fernandes.
Pada masa tambahan, JDT terpaksa bermain dengan sembilan pemain setelah Junheong yang melakukan terjahan keras terhadap Bissoli dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source