Lagi gudang ‘cuti’ diserbu, rampas arak tiruan RM1 juta
SEBERANG PERAI – Tidak sampai enam jam sebuah gudang ‘cuti’ di Permatang Batu di sini digempur, sebuah lagi premis dan kontena di lokasi sama turut diserbu sekali gus membongkar kegiatan pemprosesan arak tiruan bernilai lebih RM1,000,000, semalam.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd. Suffian Mohd Abbas berkata, hasil serbuan tersebut telah menemukan pelbagai kelengkapan yang digunakan bagi proses pembuatan dan pembungkusan arak tiruan berkenaan.
Menurutnya, barangan yang ditemui adalah 16,513 botol arak pelbagai jenama, 900 liter cecair alkohol yang telah diproses, 26,815 botol kaca kosong, mesin dan aluminium semi automatik yang digunakan sebagai penutup botol serta satu tong IBC.
“Kalau kita lihat dari segi kompaun, kawasan ini memang sangat besar dan disyaki terdapat lebih daripada satu sindiket yang beroperasi di sini.
“Kita percaya aktiviti ini dilakukan oleh entiti berbeza walaupun berkongsi modus operandi yang sama iaitu di bahagian pintu masuk utama gudang memaparkan tanda ‘cuti’ untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita sedang mengesan pemilik premis serta barangan ini dan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM1,018,196,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya percaya minuman keras pelbagai label itu dijual untuk pasaran tempatan seperti pasar raya malah tidak menolak kemungkinan ia turut dijual secara dalam talian pada harga sama seperti produk asli demi mengaut keuntungan.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini menggunakan pelbagai taktik termasuklah pemalsuan ciri keselamatan label kastam. Tiada tangkapan dibuat semasa serbuan dijalankan,” tambahnya kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dibawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
Semalam, Kosmo! melaporkan taktik pemilik sebuah gudang meletakkan tanda ‘cuti’ pada pintu utama premis akhirnya terbongkar dengan penemuan barangan kawalan dan bersubsidi bernilai RM80,500.
Modus operandi yang dilakukan sindiket terbabit adalah dengan mengguntingkan minyak masak peket yang diperoleh daripada pemborong untuk diisi ke dalam tong ‘jerry can’ berkapasiti 17 kilogram. -KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source