Tiada kompromi demi maruah negara
PUTRAJAYA – Insiden bendera Malaysia terbalik pada pakaian pemain badminton negara, Lee Zii Jia baru-baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia termasuk Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang menegaskan tiada kompromi apabila melibatkan maruah negara.
“Bendera adalah simbol maruah negara kita. Ia tidak boleh dipandang remeh. Saya pernah lalui situasi sebegini ketika menjadi Chef de Mission pada Sukan SEA di Filipina.
“Ketika itu, jalur bendera Malaysia tidak lengkap. Walaupun acara penyampaian hadiah sedang disiarkan secara langsung, saya hentikan majlis tersebut kerana ia melibatkan maruah negara,” katanya
Menurut Megat, insiden-insiden seperti bendera terbalik atau tidak lengkap menunjukkan kelalaian yang tidak wajar berlaku.
“Kita sering dengar alasan seperti ‘salah, maaf.’ Tetapi ini tidak boleh menjadi budaya. Setiap kesilapan ini perlu diambil serius kerana ia melibatkan identiti negara kita,” tambahnya.
Sementara itu, Megat yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada Pasukan Silat Negara menyuarakan keyakinan terhadap skuad silat negara yang akan beraksi di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu minggu depan.
“Sasaran kita adalah menyamai atau melepasi pencapaian enam pingat emas yang diraih sewaktu menjadi tuan rumah dahulu. Saya yakin gabungan pesilat muda dan senior mampu membawa pulang kejayaan,” katanya.
Antara pesilat yang diberi tumpuan adalah Nor Farah Mazlan yang sebelum ini mencuri tumpuan selepas meraih pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 meskipun bertarung dengan patah jari.
“Farah adalah simbol semangat dan keazaman pesilat negara. Saya percaya dia mampu mempertahankan gelarannya sebagai juara dunia, walaupun cabarannya tidak mudah,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source