Pesawah sudah kehabisan modal – Kosmo Digital
ALOR SETAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa mempertimbangkan untuk membatal musim penanaman padi ketika ini atau darurat kepada petani-petani yang terjejas akibat banjir, bulan lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, petani terlibat mengalami kerugian kos input selain kehabisan modal pusingan untuk meneruskan musim penanaman padi selepas terkesan akibat banjir.
“Petani terlibat juga perlu menerima bayaran pampasan atau wang ihsan ‘batal musim’ dengan minimum RM1,200 bagi setiap satu relung sawah padi.
“Dalam pelbagai aspek tanaman padi terjejas teruk termasuk isu tiada lagi padi semaian mahupun tanggungan atas kos benih padi, kos jentera untuk membajak sawah termasuk upah menanam mahupun menabur. Malah tiada lagi subsidi baja kerana para petani hanya boleh mendapatkannya sekali semusim,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, kejadian yang menimpa kawasan terjejas itu mengakibatkan kelewatan musim penghasilan padi sekali gus akan menimbulkan masalah rantaian ke atas kawasan sawah padi yang tidak terjejas akibat banjir.
“Selain itu, hujan yang berlarutan ditambah masalah perparitan dan sungai di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) yang tidak diselenggara sehingga menyebabkan air menjadi ‘sebak’ (bertakung).
“Ini menjadikan keadaan air dalam sawah padi tidak surut-surut, tambah menyulitkan apabila air dari sungai yang melimpah masuk ke petak bendang habis menenggelamkan padi,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap mendapatkan maklum balas positif daripada kementerian terlibat ekoran pelbagai rungutan yang diterima daripada petani terlibat di kawasan Kota Siputeh itu. -KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source