DRB-HICOM lebar usaha CSR ke Bumi Kenyalang
KUCHING – DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) melebarkan inisiatif tanggungjawab korporatnya (CR) ke Sarawak dalam usaha untuk membantu golongan yang memerlukan melalui pelaksanaan program DRB-HICOM Charity Right Feed-To-Educate, melibatkan dua buah sekolah di sini.
Inisiatif sumbangan bantuan makanan dan barangan keperluan asas itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, Mercy Mission Malaysia memberi manfaat kepada 100 murid dari SK Siol Kanan dan SK Batu Lintang.
Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan usaha tersebut yang dilihat sebagai salah satu langkah penting menyokong pendidikan murid dan kesejahteraan keluarga mereka secara holistik.
Jelasnya, setiap murid yang dibantu diberi kotak mengandungi makanan serta keperluan asas dapur bernilai RM200 setiap bulan, untuk tempoh setahun.
“Kami tidak memilih makanan yang terkandung dalam kotak ini secara sendirian, sebaliknya ia disyorkan oleh pakar pemakanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Program DRB-HICOM Charity Right Feed-To-Educate di SK Siol Kanan, Kuching, pada 15 November lalu.
Tambahnya, program berkenaan bukan sekadar penyerahan bantuan makanan, malah kehadiran ke sekolah, prestasi akademik serta kesihatan pelajar akan sentiasa dipantau sepanjang program berkenaan berlangsung.
“Justeru, kami akan memastikan ibu bapa turut memainkan peranan secara aktif, termasuk memastikan kehadiran anak-anak mereka ke sekolah dan menghadiri sesi perbincangan berterusan bersama guru-guru yang terlibat.
“Dengan ini, kami berharap objektif program akan tercapai. Pada masa yang sama, kami juga ingin memastikan murid terus hadir ke sekolah supaya mereka mendapat pendidikan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, pelaksanaan program tersebut melambangkan komitmen DRB-HICOM terhadap usaha tanggung jawab korporat yang sekali gus menyokong usaha murni kerajaan dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.
“Melalui program-program seperti ini, kami berharap komuniti setempat dapat diperkasakan dengan pendidikan dan seterusnya menambah baik taraf serta kualiti kehidupan mereka.
“Sudah pasti kami juga berharap agar usaha DRB-HICOM ini dapat menarik perhatian syarikat-syarikat lain untuk turut menyumbang ke arah tujuan yang sama.
“Oleh itu, saya berharap agar program seumpama ini dapat memberi motivasi baharu kepada murid-murid yang dipilih dan menjadi pemangkin semangat untuk mereka terus belajar sehingga ke menara gading,” jelasnya.
Pada masa sama, Cairil turut menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada pihak pengurusan SK Siol Kanan kerana sudi menyediakan tempat untuk menjadi tuan rumah bagi penyerahan bantuan makanan tersebut.
“Kami amat gembira melihat ramai murid yang hadir dan perkembangan ini mencerminkan sambutan baik daripada pihak sekolah dan ibu bapa kerana ia sememangnya inisiatif direka khusus demi kesejahteraan anak-anak kita.
“Semoga program ini membawa manfaat kepada murid-murid, keluarga, serta komuniti,” tegasnya.
Program berkenaan turut melibatkan wakil anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM, iaitu Bank Muamalat dan PROTON yang hadir untuk menyampaikan ceramah motivasi, bimbingan serta pendedahan positif kepada pelajar.
Topik menarik yang diketengahkan oleh PROTON iaitu pengeluar kereta pertama Malaysia, adalah memberikan pendedahan tentang teknologi terkini dalam pembuatan kenderaannya.
Wakil Bank Muamalat pula memberi pendedahan mengenai penipuan dalam talian yang berisiko kepada kanak-kanak dan ibu bapa.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Sekolah, JPNS, Sariah Mos; Ketua Pengurusan Dana, Mercy Mission Malaysia, Zafina Khuzaimah; Pengurus Projek Charity Right, Luqman Hakim; Guru Besar SK Siol Kanan, Maimunah Ba’ee; Guru SK Batu Lintang, Wan Hanin Wan Omar; serta wakil-wakil lain dari DRB-HICOM.
Mengenai DRB-HICOM, ia merupakan salah satu kumpulan syarikat terkemuka di Malaysia dengan perniagaan teras dalam sektor Automotif, Aeroangkasa & Pertahanan, Perbankan, Pos, Perkhidmatan dan Hartanah, dengan lebih 44,000 pekerja.
Sektor Automotif menyaksikan DRB-HICOM terlibat dalam pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan penumpang dan komersial termasuk kereta serta motosikal nasional.
Bagi sektor Aeroangkasa dan Pertahanan, DRB-HICOM terlibat melalui anak syarikatnya iaitu Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH), sementara dalam segmen Pos ia diwakili oleh anak syarikatnya, iaitu Pos Malaysia.
Kumpulan turut melibatkan diri dalam sektor Perbankan melalui Bank Muamalat, selain terlibat dalam pelbagai perniagaan lain termasuk konsesi, pendidikan, penerbangan, logistik, serta pegangan pelaburan, sekali gus terlibat dalam pembangunan hartanah kediaman dan perindustrian.
DRB-HICOM komited dalam mencapai matlamat untuk menambah nilai dan memacu pembangunan negara. -KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source