Siapa lawat Tok Aki ketika nazak?
KESIHATAN Tok Aki semakin merosot. Setelah hampir beberapa bulan terlantar sakit namun kali ini keadaannya semakin teruk. Bukan sahaja tubuh badannya semakin susut dan melidi tetapi mukanya juga cengkung sehingga menampakkan tulang-temulang yang terbonjol di kiri kanan pipinya.
“Biasalah, bila dah tua-tua ni macam-macamlah sakit yang datang… orang dah nak mati macam itulah,” kata Tok Aki bila ditanya tentang kesihatannya.
Isterinya Wan Peah hanya mencebikkan bibir sambil berlalu ke dapur. Sudah malas dia nak melayan kerenah dan ngomelan suaminya itu. Dia faham benar sikap suaminya, bila ada orang datang melawat memang itulah ayat rutin yang keluar dari mulutnya.
Saya hanya tersengih. Malas masuk campur urusan mereka. Selepas beberapa jiran tetangga yang datang melawat minta diri untuk pulang, terus saya ke dapur temankan nenek yang sedang asyik membasuh pinggan mangkuk di sinki.
“Lepas ini kita nak ikhtiar macam mana lagi nek? Nak bawa Tok Aki ke hospital di bandar pula ke?” tanya saya memulakan perbualan.
Nenek berpaling ke arah saya sambil tersenyum kelat. Tidak tahu apa yang bermain di fikirannya ketika itu sebaik sahaja mendengar pertanyaan saya.
“Tak payahlah kita buang masa Azli. Sebelum ini dah dua, tiga kali kita bawa ke hospital. Sudahnya dia nak balik ke rumah juga. Atuk kamu tu susah nak dibawa berbincang. Katanya, dia lebih rela mati di rumah ini dari mati di hospital. Jadi, kita hendak cakap apa lagi?” Kata nenek panjang lebar.
Saya yang mendengarnya hanya tersenyum. Memang saya tak nafikan kebenaran kata-kata nenek. Bukan sahaja dapatkan rawatan di hospital malah sudah banyak kali juga pak cik dan mak cik jemput doktor datang ke rumah untuk merawat Tok Aki hasilnya sama sahaja. Tok Aki beritahu dia tidak sakit. Bila doktor beri ubat langsung dia tak makan. Sudahnya, dia simpan dalam laci berhampiran katilnya.
Akhirnya semua anaknya termasuk ayah sudah malas nak cadangkan apa-apa lagi tentang rawatan Tok Aki. Namun sebagai anak mereka tetap berkunjung serta berulang alik untuk memantau kesihatan ayah mereka. Apa sahaja kemahuan Tok Aki mereka tunaikan, termasuk menjaga makan minum serta kelengkapan hariannya.
Senja itu sebaik sahaja saya ingin mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib tiba-tiba saya terdengar sesuatu yang aneh dari bilik Tok Aki. Bunyi suara seperti orang sedang berbual. Namun ada ketikanya perbualan itu diselangi dengan bunyi rengusan dan bentakan. Saya diam sambil pasang telinga. Dalam hati tertanya-tanya siapa pula teman Tok Aki bersembang ketika itu?
Dalam keadaan khusyuk memasang telinga tiba-tiba saya terkejut. Terdengar suara Tok Aki bertempik dari dalam bilik. Bergegas saya buka pintu dan menuju ke arahnya.
“Tok…Tok kenapa ini Tok?” Tanya saya cuak.
Tok Aki tidak memandang ke arah saya tetapi bola matanya tepat merenung ke arah tingkap yang sedikit terbuka di biliknya sambil mendengus beberapa kali.
Saya turut memandang ke arah tersebut, namun tidak nampak sesiapa kecuali pohon pokok di luar yang meliuk perlahan ditiup angin.
“Kau tak nampak ke tu? Cuba tengok betul-betul, ada makhluk syaitan apa entah di atas pokok tengah kacau aku. Dah banyak kali dia buat macam tu,” jawab Tok Aki sambil merengus.
Bulu roma saya tegak meremang sebaik mendengar kata-kata Tok Aki. Terus saya buka lampu dan tutup jendela yang sedikit terbuka. Rasa macam ada yang tidak kena pula bila berada dalam keadaan gelap begitu. Saya intai ke arah luar tingkap. Cuaca sudah beransur gelap.
Saya tinggalkan Tok Aki di bilik dengan seribu persoalan. Sampai sahaja di dapur terus saya ceritakan apa yang terjadi kepada nenek.
“Atuk kamu memang selalu macam itu. Bila senja je adalah yang dia merepek. Dah nyanyuk agaknya.” Ngomel nenek sambil tangannya ligat menumbuk sambal di lesung batu hadapannya.
Keesokkannya perkara yang sama berulang lagi. Ketika saya sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu sekali saya terdengar sesuatu dari bilik Tok Aki. Bunyi seperti seperti orang sedang berbual rancak.
Dengan berbekalkan sedikit keberanian yang ada saya memberanikan diri masuk ke biliknya. Sebaik kaki melangkah masuk tiba-tiba hidung saya menangkap aroma yang cukup wangi, bau seperti bunga Cempaka. Dan serta merta juga muncul deruan angin kuat menerpa ke arah muka saya.
“Tok sembang dengan siapa?” Tanya saya perlahan sambil memetik suis lampu di biliknya.
“Tak tahu lah siapa. Dua perempuan masuk dalam bilik ni tadi… tiba-tiba pula dia ajak aku jalan-jalan. Bila aku cakap tak mahu depa marah aku,” ujar Tok Aki bersungguh. Saya pandang sekeliling. Tak nampak pula kelibat sesiapa. Tiba-tiba timbul pula rasa seram, maklumlah di waktu Maghrib begini orang kata macam-macam makhluk boleh muncul.
Malam itu, sedang kami berehat sambil menonton televisyen tiba-tiba terdengar Tok Aki bertempik dari biliknya. Ketika itu aku, nenek dan salah seorang mak cik yang kebetulan berada di situ bingkas bangun dan berlari ke arah biliknya.
Ketika itulah kami terlihat kejadian yang tidak disangka. Nampak jelas satu sosok lembaga hitam berada berhampiran katil Tok Aki. Walaupun tidak berapa jelas namun kami masih dapat melihat kewujudannya.
Sosok tersebut tak ubah seperti ‘orang minyak’, namun sebaik sahaja menyedari kehadiran kami, terus dia menghilangkan diri. Sosok tersebut seakan tembus ke arah dinding dan hilang dibawa angin.
“Sudahlah… jangan kacau aku. Aku dah tak larat ni. Aku dah tua, jangan kacau aku lagi…” kata Tok Aki merayu.
“Tok sembang dengan siapa?” Tanya aku ingin tahu
Tok Aki sekadar merenungku dengan pandangan sayu.
“Entahlah… dua tiga hari ini macam-macam jenis orang datang jumpa aku. Kelmarin ada yang pakai serban, semalam ada orang tua bertongkat, hari ni entah jin apa pula yang muncul,” kata Tok Aki sedikit tercungap.
Kami yang berada di situ serta merta tergamam. Kaget mendengar kata-katanya. Dan tiba-tiba sahaja kedengaran nafas Tok Aki tercungap-cungap seakan kepenatan. Dadanya berombak kencang, terus kami meluru ke arahnya dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.
Mak cik terus menghubungi adik beradik dan saudara mara lain untuk memberitahu keadaan terkini Tok Aki. Namun Allah SWT lebih menyayanginya. Tidak sampai beberapa minit selepas itu Tok Aki akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di sisi kami bertiga.
Kematian Tok Aki sedikit sebanyak meninggalkan misteri buat kami sekeluarga. Pelbagai kejadian aneh yang dilaluinya sebelum dijemput sakaratul maut masih menjadi tanda tanya buat kami.
Di benak masih tertanya-tanya, syaitan apakah yang datang mengganggunya, siapakah orang tua bertongkat yang muncul di hadapannya dan jin apakah yang muncul sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Adakah semua itu khayalan ataupun realiti. Jika benar apakah kaitannya dengan arwah Tok Aki? Hanya dia yang ada jawapannya.
Wallahualam. – Mingguan Malaysia
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source