Yadim ucap tahniah Hannah Yeoh pakai selendang di Australia
PETALING JAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang nyata cakna dengan situasi semasa dan mengenakan selendang semasa bermesyuarat di Universiti Monash, sempena lawatan delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melbourne, Australia pada Isnin lalu.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, pihaknya mengajak masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama agar lebih objektif, berfikiran terbuka, menjauhi prasangka serta jangan cepat membuat kesimpulan dan hukuman dalam memberi komen terhadap insiden seperti ini.
“Yadim amat menyanjung tinggi sikap hormat Hannah dalam memenuhi permintaan rakan-rakan Muslim. Ia sesuatu yang perlu dicontohi kerana ia menunjukkan sikap toleransi atas dasar semangat menghormati tanpa membelakangkan fahaman dan kepercayaan agama masing-masing.
“Yadim turut memuji tindakan dan keputusan beliau dalam memilih untuk memberi keutamaan kepada ketepatan masa berbanding urusan pakaian, kerana tidak mahu terlambat untuk pertemuan dengan Universiti Monash dan Perdana Menteri yang diawalkan masa sejurus selepas pertemuan di Al-Takwa College, Melbourne,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hasanuddin turut berkata, pakaian tersebut tidak melambangkan mana-mana simbol keagamaan, tetapi merupakan lambang kepada kesopanan dan ketertiban serta hormat kepada sesuatu majlis yang merupakan cerminan keperibadian tertinggi rakyat Malaysia.
“Yadim juga melihat keputusan ini sebagai suatu yang terpuji dan perlu dicontohi dari sudut memberi keutamaan (aulawiyat) kepada satu perkara yang lebih besar iaitu menepati masa, menghormati tetamu dan janji temu.
“Oleh itu, kami juga berharap agar pada masa hadapan masyarakat Malaysia akan lebih jelas dalam isu seperti ini supaya dapat membezakan antara keperluan menjaga hubungan dan menghormati masa dengan kepercayaan serta pegangan agama,” ujarnya.
Katanya, dalam konteks yang lebih luas, Yadim menyokong agar pakaian yang bercirikan kesopanan dapat diangkat menjadi sebahagian daripada kod etika berpakaian dan menjadi satu budaya yang patut dikekalkan oleh semua peringkat umur.
“Kerajaan sebelum ini telah membuat pembaharuan dengan membenarkan pakaian kemeja lelaki tanpa tali leher sebagai sebahagian daripada pakaian rasmi.
“Yadim menggesa supaya berpakaian sopan di khalayak ramai hendaklah menjadi amalan bersama, bukan hanya dalam kalangan umat Islam bahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Hannah tampil memberi penjelasan susulan penampilannya yang berselendang semasa mesyuarat bersama Universiti Monash sempena lawatan delegasi Perdana Menteri ke Melbourne, Australia pada Isnin lalu menimbulkan kontroversi. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source