Azhan Rani dah penat nasihat manusia ‘degil’
PETALING JAYA – Enggan lagi menegur isu menonton secara haram (cetak rompak) drama Khunsa, pelakon utamanya, Azhan Rani berpandangan bukan mudah sebenarnya untuk mendidik seseorang yang dinamakan manusia, berbanding mengajar binatang yang mungkin lebih senang untuk diajar.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Azhan dalam Instagram miliknya, pelakon versatil itu seakan-akan sudah ‘menyerah’ untuk mendidik masyarakat supaya lebih menghargai dan menghormati hasil titik peluh orang lain yang telah berpenat lelah dalam berkarya.
“Pada aku senang sahaja. Bukan semua binatang tak boleh diajar dan bukan semua manusia yang nak belajar. Sekalipun ada akta dan undang-undang, akan tetap ada orang akan buat salah.
“Undang-undang kata jangan hisap dan jual dadah, tapi masih ada orang buat perkara itu. Ini soal kesedaran diri sahaja,” katanya.
Seolah-olah hampa dengan sikap masyarakat, Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abd. Rani, 49, hanya mampu bersangka baik sempena bulan Ramadan yang mulia.
“Okeylah, nak tutup buku pasal isu ini. Ini soal kesedaran sahaja. Sesetengah orang rasa perkara ini kelakar dan seronok untuk diketawakan.
“Tak paksa pun hang (kau) nak tengok bayar atau tengok lanun (cetak rompak) punya. Cakap pung pang pung pang (beria), ini bukan hasil titik peluh hang.
“Hang cuma akan meroyan kalau orang usik hasil titik peluh hang sahaja. Tak mengapa, kalau tak mampu nak sedangkan hang, di bulan Ramadan ini aku husnuzon (bersangka baik) sahaja. Terima kasih pada yang memahami. Aku masih percaya asas untuk dihormati adalah menghormati,” katanya.
Dalam hantaran sebelumnya, pelakon drama Nur itu meluahkan rasa kesal apabila drama arahan pengarah Shahrulezad Mohameddin itu ditonton dengan rakus oleh penonton secara haram dalam aplikasi Telegram.
Lebih membuatkan Azhan kecewa apabila penonton tanpa rasa bersalah mengaku secara terang-terangan menonton karya terbitan Radius One Sdn. Bhd itu secara haram.
“Kalau tengok dalam telegram, tolonglah jangan beritahu kami. Penggambaran kami untuk hasilkan Khunsa tidak mudah. Dari November tahun lepas sehingga hari ini masih belum selesai.
“Macam-macam cabaran dan rintangan yang kalau saya ceritakan, bukan orang kisah pun. Kalau rasa mahal (dilanggan), tak perlu tengok pun tak mengapa.
“Beitahu kami anda tonton menerusi Telegram hanya akan melukakan hati dan perasaan kami. Usaha dan penat lelah kami sangat tidak berbaloi.
“Anda tak rasa sebab bukan usaha dan kerja anda pun yang dirompak. Tapi jika ada kesedaran dan kemanusiaan, cubalah fikirkan jika dibalikkan pada diri sendiri suatu hari nanti. maaf saya tegur,” jelasnya.
Terdahulu, Shahrulezad memberitahu tidak sesekali akan menghalalkan pihak yang memuat naik drama Khunsa untuk ditonton secara haram dalam Telegram. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source