Fasa bersedih saya sudah berakhir – Hannah Delisha
BUKAN mudah menerima ketentuan apabila anak pertama yang dikandung selama 13 minggu tiba-tiba disahkan tidak bergerak. Khabar buruk itu ibarat merentap harapan penyanyi dan pelakon, Hannah Delisha untuk bergelar seorang ibu.
Berkat sokongan keluarga dan suami, Iman Shah, artis kelahiran Singapura itu berjaya mengharungi fasa terendah dalam hidupnya. Kini, Hannah mengakui sudah berlapang dada dan menganggap apa yang terjadi adalah ujian yang dikirim Tuhan untuk menjadikannya wanita lebih kuat.
“Fasa bersedih itu sudah habis. Kini, saya sudah rasa lebih sihat, terima kasih kepada orang-orang yang menyokong saya terutama suami dan keluarga. Mereka selalu membuatkan saya rasa dicintai dan disayangi.
“Apa yang terjadi saya sudah reda dan terima. Mungkin inilah hidup, setiap daripada kita mempunyai ujian masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Enggan terlalu meletakkan harapan yang tinggi, namun Hannah menganggap sekiranya Tuhan memberikannya rezeki untuk mengandung lagi, penyanyi Esok Masih Ada itu akan lebih berhati-hati memilih rutin harian.
“Sememangnya kalau ditanya adakah saya mahu mengandung lagi atau tidak dalam masa terdekat, saya sendiri tidak tahu. Memang tiada perancangan, namun saya juga tidak menolak sekiranya diizinkan Tuhan.
“Cuma, sekiranya ada rezeki, saya akan ambil cuti terutama untuk trimester pertama kandungan.
“Sebab bila saya tengok balik ketika saya mengandung tempoh hari, kehidupan saya sangat sibuk. Saya banyak mengembara, terlalu kuat bekerja sehingga tidak cukup tidur,” jelasnya yang mula mendirikan rumah tangga pada tahun 2021.
Ketika berita keguguran itu berlaku, Hannah baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama hits, Lelaki Itu membawakan watak Batrisya.
Hanna tidak menyangka, apa yang dilalui karakter tersebut di dalam drama turut dihadapinya di kehidupan nyata.
“Saya alami keguguran selepas drama habis. Tapi saya pun tidak sangka akan lalui perkara yang sama seperti Batrisya iaitu kehilangan anak.
“Cuma bezanya, saya keguguran manakala Batrisya pula terpaksa lakukan keguguran,” tambahnya.
Bukan sekadar isu penyodol
Bangga apabila drama lakonannya mencipta fenomena sehingga mendapat 1 bilion capaian di media sosial, Hanna merasakan keberanian penerbit dan penulis skrip, Erma Fatima membawakan isu yang kritis adalah kunci kejayaan Lelaki Itu.
“Drama ini bukan cerita tipikal tentang penyondol tapi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang masalah kesihatan mental.
“Waktu bawa watak Batrisya pun, saya tak boleh bayangkan sekiranya perkara seperti terkahwin dengan adik-beradik sendiri berlaku kepada saya.
“Sayangnya, perkara ini betul terjadi dan memang ada kes sebegini di luar sana. Memang berat menghidupkan naskhah ini lebih-lebih lagi watak saya banyak duduk di dalam bilik.
“Walaupun selepas drama berakhir, saya rasa sangat penat baik mental dan fizikal. Sekarang saya sedang berehat sebelum masuk ke set penggambaran yang baru pada Julai nanti,” katanya.
Terdahulu, Hannah Delisha mencuri tumpuan ramai menerusi drama Lelaki Itu apabila lakonannya membawakan watak Batrisya, yang tanpa sengaja berkahwin dengan adik-beradik sendiri meraih pujian ramai di media sosial.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source