Lebih 1.5 juta jemaah haji bergerak ke Arafah
MEKAH – Jemaah haji yang lengkap memakai ihram memulakan perjalanan ke Padang Arafah semalam untuk melakukan wukuf ketika lebih 1.5 juta orang dari seluruh dunia berhimpun di kota suci Mekah.
Ibadah haji kali ini berlangsung ketika lebih sejuta orang Islam di Semenanjung Gaza terus menderita akibat serangan kejam tentera Israel yang berlarutan selama lapan bulan.
Jemaah haji Indonesia yang mempunyai populasi penduduk Islam terbesar di dunia, Belinda Elham berkata, dia berdoa pada setiap hari semasa berada di Mekah supaya perang Gaza berakhir dan nasib rakyat Palestin terbela.
Menurut kerajaan Arab Saudi, wukuf di Padang Arafah yang merupakan kemuncak ibadah haji, bermula pada hari ini.
Pada hari tersebut di Padang Arafah, Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda.
Semasa di Arafah, jemaah haji berkumpul di atas bukit setinggi 70 meter dikenali sebagai Jabal Rahmah dan ramai lagi dataran sekitarnya.
Mereka melakukan pelbagai ibadat termasuk mengerjakan solat sunat dan membaca kitab suci al-Quran.
Jemaah haji akan berada di Arafah sehingga masuk waktu Maghrib.
Selepas selesai wukuf, mereka akan bertolak ke Muzdalifah untuk bermabit sebelum melontar jamrah di Mina.
Selepas selesai melontar, jemaah haji akan kembali semula ke Mekah.
Agensi berita AFP melaporkan kelmarin bahawa jemaah berdepan cabaran cuaca panas ketika menunaikan haji pada tahun ini. Menurut jabatan meteorologi tempatan, purata suhu tertinggi yang dijangkakan adalah sekitar 44 darjah Celsius.
Sementara itu, seorang jemaah haji dari Amerika Syarikat, Shariq Memon berkata, cuaca panas bukanlah penghalang buat dirinya kerana dia bersiap sedia untuk menghadapi suhu ekstrem itu.
“Kami semua telah diberitahu bahawa cuaca di sini akan menjadi sangat panas.
“Panas, tetapi dengan bantuan Allah, kami tidak merasai kepanasan ini,” kata lelaki berusia 44 tahun itu ketika meninggalkan Masjidil Haram.
Di Mekah dan kawasan sekitarnya, sukarelawan-sukarelawan turut mengedarkan air minuman dan payung di samping memberikan nasihat kepada jemaah haji supaya banyak minum air bagi mengelakkan strok haba.
Terdapat hampir 700 pekerja lapangan bersama 320 ambulans, 13 kenderaan lain untuk tindakbalas lanjutan, tujuh ambulans udara (helikopter) dan dua pesawat pemindahan perubatan sebagai persiapan bagi membantu jemaah haji sekiranya keadaan memerlukan.
Selain itu, sebanyak 15 motosikal, 150 bugi golf, 150 skuter dan 27 basikal elektrik berserta 10 bas ambulans dan kenderaan perkhidmatan lain disediakan oleh kerajaan Arab Saudi pada musim haji kali ini.
Turut disediakan ialah lebih 595 sukarelawan yang terdiri daripada individu yang mahir dalam bidang perubatan dan pertolongan cemas.
Di Muzdalifah, jemaah haji akan mengutip anak batu untuk melontar jamrah di Mina sebagai simbolik tindakan merejam syaitan oleh Nabi Ibrahim.
Tiga jamrah itu adalah lokasi di mana syaitan cuba menghalang baginda daripada mematuhi perintah Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.
Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan Hari Raya Aidiladha di negara berkenaan disambut esok iaitu semasa jemaah haji melontar di jamrah Kubro. – AGENSI
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source