Deadpool & Wolverine: Paling berdarah, paling bersaudara
BERPELUANG menjadi antara yang pertama di Malaysia menyaksikan filem terbaharu Marvel Cinematic Universe (MCU) iaitu Deadpool & Wolverine, keringat penulis masih basah untuk ‘membocorkan’ kepada semua betapa karya kali ini bakal mengubah segala-gala dalam galaksi francais terbabit.
Kita semua sedia maklum, Avengers: Endgame yang diluncurkan pada 2019 adalah ‘peak’ atau puncak MCU dan ramai beranggapan, MCU sudah seperti hilang magis selepas peristiwa tersebut.
Buat penulis secara peribadi, Deadpool & Wolverine berjaya membuka dimensi baharu yang terus-terusan menderas adrenalin ramai penjunjung jenama MCU.
Sebab pertama adalah, sinergi atau cetusan kimia antara dua watak utama filem ini iaitu Deadpool (lakonan Ryan Reynolds) dan Wolverine (Hugh Jackman) melunaskan terjemahan karakter masing-masing dengan penuh cemerlang.
Sinergi, cameo top-notch
Dari segi aksi, lelucon, dialog sumpah seranah yang membawa kepada kemenjadian watak dan segala perihal penting lain ditonjolkan tanpa cela oleh kedua-dua watak utama tersebut.
Ryan sebagai Deadpool atau Wade Wilson memang tiada tolok banding apabila melibatkan urusan kumat-kamit membutirkan kata-kata ‘dewasa’ kepada audiens.
Apa yang mengejutkan dan membuatkan ramai teruja, perkara itu berjangkit kepada duonya, Wolverine.
Kerjasama antara Deadpool dan Wolverine boleh diibaratkan the duo we never knew we needed (duo yang tak pernah kita terjangkakan) namun, itulah yang berlaku dalam filem ini.
Dengan peluncuran Deadpool & Wolverine, semakin terbentang luaslah hubung kait X-Men kepada dunia MCU yang selama ini dinanti ramai.
Enggan terlalu membocorkan banyak perkara, filem ini membawa semula karakter-karakter lama X-Men yang sangat dirindui peminat francais tersebut, sekali gus menjanjikan kelangsungan jenama MCU yang ditebak ramai semakin lama, semakin malap selepas Endgame.
Selain kemunculan istimewa atau cameo dalam Deadpool & Wolverine yang membuatkan penulis bertepuk tangan, pada masa sama elemen tersebut mendorong diri untuk mata ‘berkaca’ kerana karakter-karakter ikonik lama yang dimunculkan semula.
Menyentuh tentang villain (penjahat), watak Cassandra Nova (lakonan Emma Corrin) iaitu saudara kembar mantan X-Men, Charles Xavier tidak langsung mengecewakan.
Villain
Sungguhpun peranan Cassandra divisualkan sebagai ‘villain’ yang menggerunkan, dia langsung tidak gugup terjun dalam ‘bandwagon’ Deadpool yang sememangnya terkenal dengan ketidakseriusannya dalam mendepani sebarang situasi.
Perihal itu bagaimanapun tidak mematikan ‘vibe’ Cassandra yang sangat berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja, terutama kebolehan psikiknya.
Alasan lain kenapa Deadpool & Wolverine wajib menjadi pilihan tontonan adalah ‘soundtrack’ yang mengimbau memori, kesan visual dan bunyi luar biasa serta adegan pertumpahan darah yang tidak henti-henti.
Boleh dikatakan, aksi brutal gory (berdarah) naskhah MCU kali ini paling maksimum, namun bersesuaian dengan tema filem ke-34 jenama popular tersebut.
Selebihnya tanpa meletupkan terlalu banyak ‘spoiler’, silalah berkunjung di panggung berdekatan kalian menonton Deadpool & Wolverine. Selain berhibur dengan aksi hebat dan dialog bersahaja dipamerkan, filem ini juga mengajar sesuatu tentang nilai persaudaraan. Syabas buat sutradara Shawn Levy dan semua yang terlibat!
| INFO |
Filem: Deadpool & Wolverine
Pengarah: Shawn Levy
Pelakon: Ryan Reynolds, Hugh Jackman, Emma Corrin, Morena Baccarin, Rob Delaney, Leslie Uggams, Karan Soni, Matthew Macfadyen
Edaran: Walt Disney Studios Motion Pictures
Produksi: Marvel Studios, Maximum Effort, 21 Laps Entertainment
Tayangan: 25 Julai 2024
Bintang: 4/5
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source