Berat susut 14 kilogram bukan sebab buatan orang
PENGUNDURAN Keanu Azman sebagai penyampai radio Hitz FM secara tiba-tiba beberapa bulan lalu telah mengejutkan ramai peminat. Malah, bentuk fizikal yang dilihat susut mendadak menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga ada yang mengatakan Keanu berdepan masalah depresi kerana sukar mendapat tawaran pekerjaan.
Keanu atau Mohamad Keanudin Mohamad, 27, maklum akan pelbagai sangkaan mengenainya yang bertebaran dan bersedia memberi penjelasan. Bukan diberhentikan kerana masalah disiplin, Keanu mengakui punca sebenar yang membuatnya meletakkan titik noktah kepada kerjaya penyampai radio selepas enam tahun adalah kerana Allah.
Sebaik sahaja mula mendekati agama dan mempelajari al-Quran semasa pandemik, Keanu mengakui hatinya sudah tawar mendengar lagu-lagu bahasa Inggeris yang penuh dengan lirik berunsur seksual.
“Kebanyakan lagu bahasa Inggeris mempunyai mesej tersembunyi berunsur lucah yang tidak serasi dengan jiwa saya. Akhir tahun lepas, sebelum pergi umrah, saya memaklumkan kepada bekas majikan untuk tidak menyambung kontrak yang sepatutnya berakhir pada bulan Februari.
“Namun mereka minta saya tidak berhenti kerana rating program yang saya kendalikan mempunyai pendengar paling tinggi di radio itu. Jadi saya setuju untuk sambung sehingga bulan enam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tidak hanya itu, jejaka kacukan Melayu Pakistan itu juga tidak menafikan jiwanya sudah tidak serasi dengan gaya hidup masyarakat urban selepas pulang menunaikan umrah.
“Kalau di radio Melayu seperti Era FM, jika mahu sambut apa-apa akan pergi makan. Tapi dalam budaya urban, situasinya berbeza. Saya memang tolak untuk pergi termasuklah ke acara seperti konsert.
“Tapi saya bersyukur bekas majikan sangat memahami dan tidak pernah menyindir atau mengatakan saya seorang yang membosankan.
“Cuma sudah masanya saya berikan rezeki pekerjaan ini kepada orang yang benar-benar sesuai dan mahu melakukannya. Ini kerana, setiap kali saya temu ramah artis antarabangsa, jiwa saya rasa kosong,” tambahnya.
Siapa sangka, selepas dua bulan, Keanu mendedahkan kerjayanya sebagai pengacara terbuka luas dan mula dilamar beberapa jenama besar untuk melakukan kolaborasi.
“Mula-mula memang gusar, tapi Allah bukakan jalan. Satu demi satu rezeki datang seperti mengacarakan majlis besar korporat Petronas, dilamar menjadi duta dan ditaja terbang ke London untuk melakukan kempen,” jelasnya.
Disangka hidap kanser
Pengacara Anugerah Industri Muzik 23 itu mula teliti soal penjagaan pemakanan dan kesihatan. Sejak itu, berat badannya susut sehingga 14 kilogram dalam tempoh tiga bulan. Namun menurut doktor, itu bukanlah angka yang sihat dan normal.
“Banyak orang ingat saya kurus sebab tertekan, depresi kerana tidak cukup duit. Tapi sebenarnya saya tidak lagi makan makanan segera di tengah malam seperti dahulu. Makanan terakhir saya adalah sebelum lapan malam, makan lebih banyak ambil protein, buah dan sayuran.
“Saya tidak ke gim. Tapi lebih banyak berjalan untuk menguatkan stamina. Awalnya doktor juga risau sebab berat saya turun terlalu drastik, takut-takut ada kanser.
“Namun setelah melakukan ujian imbasan, Alhamdulillah tiada apa-apa yang pelik. Takut juga kalau ada faktor lain seperti buatan orang. Syukurlah semuanya sihat,” jelasnya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source