PAS anggap pihak pertikai isu halal sebagai ‘suara sumbang’ dalam masyarakat
KUANTAN: PAS menganggap tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mempersoalkan tentang pemilikan sijil halal bagi restoran dan syarikat makanan sebagai ‘suara sumbang’ yang terlampau menyentuh sensitiviti orang Islam di negara ini.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini, isu perkauman seumpama itu tidak harus dibangkitkan.
“Apabila saya sebut masyarakat (kita), ia bukan hanya kepada orang Melayu Islam sahaja… semua bangsa yang tinggal di sini perlu jaga, jangan bangkit perkara ini.
“Sebab yang pertama undang-undang negara kita tidak pernah menghalang orang bukan Islam nak makan khinzir. Dia boleh makan cuma ada peraturan-peraturan seperti jangan (makan) terbuka.
“Minum arak juga dibenarkan…jadi pasal apa nak campur pulak hal orang Islam ni yang buat kawalan. Tiba-tiba ada pula cadangan untuk tak nak buat sijil halal. Jadi saya rasa terlampau menyentuh sensitiviti kepada umat Islam,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan As-Sabiqun 4.0 Sempena Muktamar PAS ke-70, di Kuantan, Pahang, hari ini.
Hashim dalam masa yang sama menuntut agar PAS bergerak ke depan dalam membuat bantahan terhadap cadangan dibangkitkan bekas menteri itu.
“Sebab itu PAS dah nampak dah ke mana dia (DAP) nak pergi (halatuju). Sebab itu kita putuskan hubungan, dan tidak masuk dalam Kerajaan Perpadun.
“Bukan kita tidak mahu berkawan, tapi kita sudah tahu perangai mereka. Dan sekarang makin hari makin tunjuklah. Itu baru menang 40 kerusi, kalau dia menang 120 (kerusi) rasalah apa yang akan berlaku,” ujarnya.
Sebelum ini, Teresa berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain menambahkan kos pentadbiran.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd. Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source