Akademi Renang Sailfish miliki misi serampang dua mata
PETALING JAYA: Akademi Renang Sailfish mahu mencungkil bakat baharu buat sukan renang negara dan mahu memastikan semua masyarakat, terutamanya golongan B40 berpeluang mempelajari cara berenang yang betul.
Justeru, akademi itu telah menawarkan kelas ‘super saver’ dengan bayaran yuran berpatutan atau harga ‘rahmah’ bagi memberi peluang kepada golongan B40 mempelajari asas renang yang betul dan kemahiran menyelamatkan orang lemas di dalam air.
Kelas Super Saver ditawarkan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 16 tahun.
Dalam masa sama, pembelajaran berkenaan menjadi fokus utama akademi yang diasas oleh bekas perenang negara Ryan Kee Zhen Hao dan merangkap ketua jurulatih di Akademi Renang Sailfish.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar berenang tanpa mengira keadaan kewangan keluarga mereka.
“Berenang bukan sahaja kemahiran hidup yang penting tetapi juga cara terbaik untuk membina keyakinan, disiplin dan kecergasan fizikal.
“Dengan menawarkan pelajaran mampu milik ini, kami berharap dapat memastikan semua kanak-kanak mendapat peluang untuk belajar berenang dan kekal selamat,” kata Kee Zhen Hao.
Mengikuti rapat dengan inisiatif Program Latihan Kemahiran Asas Sukan untuk Renang (KLAS Renang) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Akademi Renang Sailfish berhasrat menjadikan berenang sebagai kemahiran hidup yang penting dan dapat diakses oleh semua orang, malah tidak menjadi beban kepada mereka yang menghadapi kekangan kewangan.
Kelas-kelas tersebut akan diadakan setiap minggu di kelab Tropicana, Berjaya dan Bukit Kemuning.
Setakat ini, terdapat kira-kira 100 pelajar berdaftar dalam kelas ‘super saver’ dan akademi itu mengalu-alukan penyertaan 400 orang lagi.
Selain itu, Akademi Renang Sailfish berhasrat untuk mendedahkan dan memupuk bakat renang baharu dengan meluaskan kebolehcapaian melalui kelas mampu milik ini.
Dengan menyediakan lebih banyak peluang kepada kanak-kanak, harapan akademi ini adalah dapat melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan renang buat negara pada masa akan datang.
“Selain mahu melihat semua golongan berpeluang mempelajari asas berenang, kami juga berharap ia dapat memupuk minat ramai kanak-kanak untuk berenang.
“Daripada situ, mungkin secara tidak langsung mampu mencungkil bakat baharu untuk sukan renang negara.
“Kami percaya bahawa bakat luar biasa boleh muncul dari tempat yang paling tidak dijangka. Kami perlu membuka pintu ini kepada semua orang tanpa mengira latar belakang mereka,” jelas Pengarah Urusan Akademi Renang Sailfish, Ethan Chew Yizheng.
Sukan Olimpik baru-baru ini telah menunjukkan kepada kita bahawa Malaysia mempunyai potensi besar dalam pelbagai sukan, termasuk renang.
“Dengan sistem sokongan yang betul, kami tahu bahawa terdapat banyak perenang muda dan mungkin juga atlet Olimpik masa depan yang hanya menunggu untuk ditemui,” tambahnya.
Selain itu, Akademi Renang Sailfish turut bekerjasama dengan beberapa sekolah, termasuk Tahfiz dan sekolah berkeperluan khas.
Pada masa ini, akademi itu telah melatih kira-kira 1,500 pelajar setiap bulan, menawarkan pelbagai pelajaran dari peringkat pemula hingga peringkat kompetitif dan disesuaikan untuk pelajar seawal usia 4 bulan hingga 17 tahun.
Sailfish juga dalam perancangan meningkatkan kapasiti mereka untuk menyambut 1,000 pelajar lagi setiap bulan.
Ini termasuk pelancaran kelas mereka di Gamuda Cove yang akan tersedia untuk pendaftaran bermula dari September 2024.
Dalam masa sama, Akademi Renang Sailfish juga terbuka untuk bekerjasama dengan agensi awam dan kerajaan untuk merapatkan lagi jurang bagi perenang muda yang bercita-cita tinggi di seluruh Malaysia.-UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source