Anak juruterbang TUDM maut pesawat terhempas bangga sambung legasi bapa
PORT DICKSON: Walaupun tragedi sebuah pesawat jenis Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang kira-kira lapan tahun lalu telah meragut nyawa bapanya, namun ia tidak menggentarkan Perajurit Muda, K. Indiran, 20, untuk mencapai impian bergelar tentera.
Menurut Indiran, tragedi pada 21 Disember 2016 itu yang mengorbankan bapanya Mejar (kini Leftenen Kolonel) C. Kayamboo pada usia 44 tahun tidak sedikit pun menghakis perasaan dia dan tiga lagi adiknya untuk berkhidmat buat negara.
Menurutnya, mendiang bapanya akan terus kekal sebagai perwira negara dmi mempertahankan kedaulatan negara.
“Ini cita-cita saya untuk jadi macam ayah, dia salah seorang perwira negara. Walaupun (tragedi) ini terjadi, saya sebagai anak sulung, saya kena pastikan khidmat ayah untuk negara ini diteruskan oleh kami adik beradik.
“Setiap kali saya berhadapan dengan cabaran fizikal dan mental ketika latihan sehingga ada kalanya mahu berhenti, saya sentiasa teringatkan sebab utama saya untuk menjadi perwira negara seperti ayah,” katanya kepada pemberita pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Pada majlis berkenaan, seramai 1,144 Perajurit Muda telah berjaya menamatkan latihan yang dilaksanakan mulai 8 Mac lalu.
Bercerita lanjut, Indiran berkata, dia pada mulanya berhasrat untuk bergelar juruterbang seperti mendiang bapanya namun kelulusan akademiknya tidak menepati kelayakan tersebut.
Menurutnya, dia kemudian mula menyimpan impian untuk berusaha bersungguh-sungguh agar terpilih menjadi sebahagian daripada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) Malaysia
Sementara itu, ibunya, S. Usha, 50, berkata, sebagai seorang ibu, dia sangat berbangga apabila anak-anaknya menunjukkan minat untuk berkhidmat buat negara seperti mana mendiang suaminya.
“Saya rasa bangga kerana mereka boleh berkhidmat untuk negara. Tempoh enam bulan latihan adalah amat mencabar dan sebagai ibu tentulah saya mahu anak-anak saya menjadi kuat,” katanya yang bekerja sebagai jururawat.
Menurutnya, ketika peristiwa tersebut anak keempatnya iaitu anak bongsu baharu sahaja berusia dua tahun dan kini anaknya itu juga mahu bergelar tentera.
Sebagai rekod, peristiwa pesawat terhempas pada tahun 2016 yang mengorbankan Kayamboo itu turut menyebabkan tiga lagi individu iaitu Kapten Wai Lik, Leftenan Hamid Hanafi dan Sarjan Udara Mohd. Sofi Azizan turut cedera.-UTUSAN.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source