‘Perlu ada ilmu komedi’ – Didie Alias nafi dengkikan Anna Jobling
KUALA LUMPUR – Selebriti serba boleh, Didie Alias menegaskan tidak pernah berasa cemburu dengan pemilihan Anna Jobling sebagai juri program Muzikal Lawak Superstar musim keempat (MLS4).
Bukan menidakkan kelayakan Anna tetapi Didie atau Fadzilah Mohd Ali, 52, mempertikai mengapa pihak stesen televisyen tidak mengambil artis komedi wanita yang lebih berpengalaman.
“Ada saya cakap dia tidak layak? Tiada. Saya meletakkan diri saya sebagai seorang netizen ketika menulis komen tersebut.
“Ramai cakap saya dengki, hakikatnya tidak. Untuk meletakkan dia sebagai seorang juri, bukan masalah dan memang bertujuan sebagai komersial.
“Namun, apa guna kewujudan ramai pelakon komedi wanita tetapi tidak diletakkan di kerusi para juri? Sekurang-kurangnya ada ‘bunga tua’ yang berilmu tentang komedi boleh beri komen?” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ( ABP) ke-36 di sini baru-baru ini.
Jelasnya, industri seni tanah air mempunyai ramai pelawak wanita yang mempunyai ilmu dalam bidang komedi tetapi sehingga kini sukar mendapat ruang dan peluang tersebut.
Namun, dia memahami kehendak program yang meletakkan Anna di kerusi juri sebagai nilai komersial serta mahu meraih rating tinggi.
“Mengikut kefahaman saya, semua itu untuk rating program tetapi tidak salah kalau gandingkan pelakon komedi wanita bertaraf ‘otai’ dan banyak pengalaman dengan barisan juri lain iaitu Saiful Apek serta Harith Iskander.
“Banyak program sebelum ini hanya ketengahkan artis komedi lelaki tetapi wanita? Kita ada ramai yang bagus seperti Sharifah Shahirah, Raja Azura, Sheila Rusly dan Rosnah Mat Aris. Mereka semua ada ilmu.
“Komen itu hanya sekadar pendapat peribadi, malah tak pertikai pun kelayakannya cuma terfikir mengapa tidak beri peluang kepada yang lebih berpengalaman. Dalam media sosial, sesiapa sahaja boleh komen,” tuturnya.
Dalam pada itu, dia turut menasihatkan Anna agar tidak duduk di kerusi juri tanpa sebarang ilmu dan bersedia dengan segala kritikan netizen.
Dia juga mengakui terpaksa lantang bersuara kerana merasakan tiada pihak mahu mengangkat martabat dan memberi hak yang sepatutnya terhadap pelawak wanita.
“Dia juga perlu ada ilmu tentang komedi sebab pentas ini bukan mudah. Perlu juga persiapkan mental agar bersedia dengan ‘tembakan’ netizen.
“Memang saya perlu lantang bersuara, sebab siapa lagi hendak mewakili golongan kami? Ruang dan peluang pun kami susah nak dapat, sebab itu ramai rakan seangkatan berniaga ketika ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Didie turut diumumkan sebagai hos malam kemuncak ABP36 bersama Haniff Hamzah dan Riena Diana pada 11 Oktober depan.
Terdahulu, Didie meluahkan rasa kurang bersetuju apabila Anna terpilih menjadi juri MLS4.
Perkara itu dikongsikan Didie dalam ruang komen yang kurang bersetuju dengan pemilihan yang dilakukan oleh pihak stesen televisyen.
MLS4 bakal bersiaran bermula 22 September ini menerusi saluran Astro Warna dan dikendalikan oleh pengacara Datuk AC Mizal. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source