Nak masuk Thailand pastikan cop Pesuruhjaya Sumpah tulen
KANGAR – Rakyat diminta berhati-hati agar tidak terpedaya dengan pihak tertentu yang menawarkan cop perakuan palsu mirip Pesuruhjaya Sumpah pada Surat Akuan Berkanun bagi tujuan membawa masuk kenderaan ke Thailand.
Penyelaras negeri bagi Pertubuhan Gabungan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia (Pesuma), Henry Ooi Hwa Ree berkata, pihak kastam Thailand telah mewajibkan rakyat Malaysia yang mahu memandu kenderaan bukan mereka supaya mengemukakan Surat Akuan Berkanun dengan cop Pesuruhjaya Sumpah.
Namun begitu, katanya, terdapat laporan mengenai pihak tidak bertanggungjawab menggunakan cop perakuan mirip milik Pesuruhjaya Sumpah.
“Taktik ini dikesan di Kelantan bertujuan mengaut keuntungan dengan menawarkan perkhidmatan perakuan tidak sah kepada mereka yang ingin memandu ke Thailand,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan dokumen penting itu disahkan melalui pihak yang sah bagi mengelakkan masalah ketika berada di Thailand.
Katanya, peraturan baharu yang diperkenalkan oleh pihak kastam Thailand bertujuan memastikan kenderaan yang dibawa masuk ke negara itu mempunyai kebenaran daripada pemilik asal.
“Langkah ini juga difahamkan bertujuan mengurangkan risiko kenderaan curi daripada dibawa masuk ke Thailand dan diperdagangkan dalam pasaran gelap,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, surat akuan itu perlu dilengkapkan dengan maklumat jelas termasuk maklumat pihak yang diberi kuasa untuk membawa kenderaan serta butiran kenderaan yang akan dipandu masuk ke Thailand.
“Akta Akuan Berkanun 1960 menetapkan hanya Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah dan Notari Awam yang dibenarkan untuk memberi perakuan bagi Surat Akuan Berkanun,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source