Legasi Sate Salleh sejak 1988 diteruskan
SATE, sebut sahaja makanan ini pasti terbayangkan menu ringkas ayam atau daging dicucuk pada sebatang lidi sebelum dibakar atas bara api dengan kepulan asap dan aroma yang menyelerakan.
Juadah warisan itu merupakan antara ikon makanan rakyat Malaysia. Tidak lengkap jika sate tidak dihidangkan dalam majlis keraian atau perayaan.
Justeru, tidak hairanlah sate menjadi menu pilihan di hotel-hotel mewah, kafe hipster mahupun kedai makan rakyat marhaen.
Bagi seorang penjaja sate bermotosikal, Muhammad Ashraf Salleh, 21, walaupun terdapat pelbagai variasi sate ketika ini, tetapi cara penyediaannya tidak banyak berubah.
Dia yang meneruskan legasi Sate Salleh daripada bapanya, Salleh Mahmood yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu akibat lemah jantung, masih mengekalkan resipi asal dalam pembuatan sate.
Menu tiga sekawan iaitu sate ayam, daging dan nasi impit masih dikekalkan.
Setiap cucuk sate menggunakan ayam dan daging segar dengan nisbah potongan besar serta diperap lama menggunakan bahan-bahan terpilih hasil olahan bapanya.
Sate kemudian dibakar atas motosikal sebaik mendapat pesanan pelanggan. Bara arang yang dikipas menghasilkan asap yang akan meresap ke dalam sate bagi memberikan aroma salai manakala kesan hangus menambahkan tarikan visual.
Terasa canggung jika sate dimakan tanpa kuah kacang. Allahyarham bapanya menghasilkan sendiri resipi kuah kacang yang pekat kerana dimasak sempurna sehingga pecah minyak.
Setiap gigitan sate ayam dan daging ini yang berharga RM1.20 secucuk terasa berbaloi serta puas. Maka tidak hairanlah Sate Salleh menjadi pilihan pelbagai bangsa sejak 1988 lagi.
Tidak menoleh ke belakang, Muhammad Ashraf memperkenalkan sate sejuk beku khususnya kepada pelanggan yang mahu menikmati juadah tersebut pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Menurut Muhammad Ashraf, pelanggan boleh mendapatkan Sate Salleh di dua lokasi utama di Melaka iaitu di Taman Ayer Keroh Height, Ayer Keroh setiap Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad manakala setiap Selasa dan Khamis di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source