Penunggang motosikal nyaris ‘tertonggeng’ lubang besar tiba-tiba muncul
MELAKA – Beberapa pengguna Jalan Syed Abdul Aziz berhampiran Jalan Melaka Raya dekat sini dikatakan mengalami kecederaan gara-gara cuba mengelak lubang sedalam 1.7 meter yang tiba-tiba muncul selepas pembetung dipercayai pecah, hari ini.
Seorang penghantar makanan, Izzat Irsyaduddin Daud, 36, memberitahu, dia yang menggunakan laluan itu hampir setiap hari turut mengalami luka-luka pada bahagian kakinya selepas cuba mengelak lubang tersebut.
“Dalam pukul 11 pagi saya nak hantar pesanan makanan, memang masa itu tak ada apa-apa kon atau penghadang jalan yang diletakkan di kawasan itu dan apabila sudah dekat baru saya nampak lubang besar.
“Saya kemudian cuba mengelak sehingga langgar tebing kiri jalan menyebabkan kaki saya luka. Sebelum tu ada pengguna jalan yang lain pun cedera, seorang pak cik dan katanya telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Tambahnya, selesai membuat penghantaran dia segera memaklumkan kemunculan lubang besar itu kepada pihak polis dan berpatah balik ke lokasi untuk membantu meletakkan kon keselamatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Mohamed Salzeli Mokhtar turut dilihat berada di lokasi untuk membuat pemeriksaan keselamatan laluan tersebut.
Jelasnya, lubang tersebut dengan panjang 3.5 meter dan lebar satu meter bukanlah disebabkan mendapan tanah tetapi pembetung kekotak yang pecah dipercayai kesan akibat kenderaan muatan berat melalui kawasan itu.
“Kejadian ini berlaku kerana kegagalan pembetung di tapak berpunca daripada muatan yang lebih melalui jalan ini.
“Bagi penyelesaian segera kita akan membuat laluan kontra menggunakan jalan bersebelahan serta menghadkan muatan sehingga 10 tan sahaja, bagi jangka masa panjang satu permohonan peruntukan segera dibuat kepada Ibu Pejabat JKR untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan kekal dilakukan,”katanya.
Terdahulu, kemunculan lubang itu turut tular di media sosial yang mendakwa lubang itu berpunca daripada tanah mendap atau ‘sinkhole’ di kawasan tambak berusia lebih 40 tahun itu.-KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source