Tiada kompromi walaupun pembuli anak menteri – Fadhlina
KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan kes buli di sekolah walaupun pelakunya membabitkan anak kepada menteri.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai membuat siasatan berhubung kes buli terbaru didakwa membabitkan anak selebriti Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, 51,
Menurut beliau, KPM ingin memastikan seluruh ekosistem persekolahan selamat untuk seluruh pelajar.
“Buli adalah buli. Tidak kira anak siapa pun (sama ada) anak selebriti (atau) anak menteri sekali pun.
“Saya ingin tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi, tindakan tegas akan diambil selepas siasatan dilakukan oleh polis selesai,” kata beliau selepas Program Tekad Reformasi Pendidikan dekat sini semalam.
Baru-baru ini Tam meluahkan kecewa dengan pihak sekolah berasrama anak lelakinya berusia 14 tahun yang didakwa tidak peka dan tidak mengambil tindakan terhadap masalah buli yang turut membabitkan anaknya.
Susulan pendedahan Tam beberapa ibu bapa lain di sekolah sama di ibu negara tampil mendedahkan perkara sama
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman kemudian dilaporkan berkata, setakat semalam, lima laporan polis sudah diterima pihaknya berkaitan isu itu.
Sementara itu, Fadhlina berkata, seramai 122,000 murid Tahun Satu di seluruh negara dikesan belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Beliau berkata, pihaknya mendapati masalah tersebut berpunca daripada keciciran pembelajaran semasa pandemik Covid-19, selain masalah kemiskinan dan memerlukan intervensi khusus.
Bagaimanapun, kata beliau, jumlah murid yang tidak menguasai 3M itu boleh berubah dalam masa terdekat melalui beberapa program intervensi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.
“Nombor atau angka ini mempunyai sifat yang dinamik. Sebaik sahaja mereka (murid) menguasai (3M) melalui intervensi yang dibuat baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat Persekutuan serta melalui program Anak Kita, nombor itu akan berubah,” katanya..
Selain itu, kata beliau, kerajaan juga akan meneruskan komitmen untuk memperluaskan sistem prasekolah di seluruh negara bagi menangani masalah keciciran di peringkat lebih awal.
Kata Fadhlina, naratif prasekolah amat penting kerana ia bukan sahaja untuk mengatasi masalah keciciran dalam kalangan pelajar tetapi juga sebagai langkah intervensi terutama bagi kanak-kanak berkeperluan khas.
“Kita juga sedang melihat bagaimana kita boleh terus memartabatkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan intervensi kurikulum yang pastinya memberi kesan secara langsung kepada keupayaan serta kompetensi guru,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kerajaan juga akan memulakan kurikulum pendidikan baharu lebih awal bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dan rintangan-rintangan yang wujud di dalam sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, selari dengan itu KPM giat mempersiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia baharu bagi menggantikan pelan lama yang akan berakhir tahun depan.
“Melihat kepada keberkesanan kendala-kendala ini, kita siapkan juga enam teras atau enam reformasi pendidikan bagi menampung dan menambah baik apa-apa yang kita tertinggal dalam proses menuju kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu,” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source