Premis tular sorok minyak masak diserbu, tiada lesen jual barang kawalan
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Selangor susulan menyorok bekalan minyak masak paket 1 kilogram (kg).
Tindakan yang diambil pada Isnin lalu itu susulan tular di media sosial berkaitan seorang peniaga didakwa menyorok bekalan minyak masak dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati, premis terbabit menjual barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan barangan runcit lain.
Katanya, premis berkenaan tidak mempunyai lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 84kg minyak masak bersubsidi paket 1kg, minyak masak botol 2kg (tujuh), LPG 14kg (lapan) dan gula putih bertapis kasar (24kg) selain beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois jualan dan belian barang-barang kawalan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, penguat kuasa KPDN Selangor telah bertindak menyita kesemua barangan terbabit dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM630.90.
Ujarnya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti pembekal barang-barang kawalan premis berkenaan serta rantaian pengedarannya.
“KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurus niaga dengan barang-barang kawalan berjadual agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa.
“Ini termasuk mendapatkan lesen borong atau runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta 122 serta tidak menyimpan atau menyorok bekalan barangan terbabit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azman berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah pelaksanaan Ops Tiris 3.0
sejak 1 Januari hingga semalam bagi komoditi minyak masak, sebanyak 386 kes telah dihasilkan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 512,109kg minyak masak bernilai RM2.79 juta telah berjaya dirampas,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source