Tabib Adam larikan diri, JAIM minta PDRM bantu kesan
MELAKA – Pengamal perubatan, Tabib Adam yang sebelum ini dilaporkan mengumpul kekayaan sebagai pakar buang saka di sebuah pusat perubatan di Masjid Tanah, Alor Gajah disyaki telah melarikan diri ke Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sehingga kini usaha Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menghubungi pengamal perubatan itu serta isterinya gagal.
Katanya, susulan itu pihak JAIM telah pun meminta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan Tabib Adam atau Adam M. Isa, 66, yang disyaki telah melarikan diri ke negara asalnya di Singapura.
“Kita telah menyerbu pusat rawatannya di Masjid Tanah dan tidak menjumpai pasangan itu, malah usaha Pegawai Penguatkuasa Agama menghubungi mereka menerusi panggilan telefon juga gagal kerana tidak dijawab.
“Sebelum ini kita kesan dia ada balik ke Singapura kemudian ada datang semua ke Malaysia tetapi sekarang kita tak tahu dan minta PDRM tolong kesan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, perawat itu juga mempunyai kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas pertuduhan bagi kesalahan seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu bersekediaman dengan perempuan yg bukan isteri dan mahramnya.
“Tarikh perbicaraan selanjutnya adalah pada 5 Februari 2025. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Tabib Adam boleh menyalurkan maklumat kepada JAIM di talian 0172661280,” ujarnya.
Kosmo! pada 14 Oktober lalu melaporkan seorang pengamal perubatan dikenali Tabib Adam yang menawarkan pelbagai rawatan termasuk membuang saka diwartakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dilaporkan berkata, perkara itu ditetapkan pada 12 September lalu selepas kajian dan laporan yang dibentangkan dalam muzakarah mendapati rawatan di pusat tersebut meragukan termasuk menyeru makhluk halus.
Kira-kira 50 pesakit dipercayai datang mendapatkan rawatan di pusat itu setiap hari. Lelaki itu dipercayai mengenakan bayaran bermula RM250 seorang mengikut jenis saka yang perlu dibuang seperti saka harimau, saka buaya atau saka hantu.-KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source