Pakar belum dapat rungkai punca dentuman, gegaran di Ipoh
IPOH: Bandar Ipoh dan kawasan sekitar disahkan selamat meskipun berhadapan insiden bunyi dentuman dan gegaran kuat yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kawasan di sekitar bandar raya itu tidak mengalami apa-apa masalah dari segi permukaan bumi atau punca lain seperti mana yang disahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Rata-rata pakar yang beri pandangan (memaklumkan) tidak boleh mengesan bunyi (dentuman) itu berpunca dari mana kerana jika kita ambil pendekatan daripada aspek saintifik melalui gegaran bumi atau pergerakan letupan, ia tidak dalam kaedah radar yang ditetapkan.
“Malah, seperti mana dalam kenyataan METMalaysia yang mengatakan kejadian ini tidak mirip ke arah gempa bumi atau pergerakan di kerak-kerak bumi serta tidak terkesan dengan letupan dari negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Terdahulu, Azizi mempengerusikan mesyuarat bersama 20 agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), METMalaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pegawai daerah bagi merungkai punca bunyi dentuman di Ipoh yang masih misteri sehingga kini.
Menurut beliau, dalam mesyuarat itu, selain melibatkan kajian melalui kaedah saintifik, ia juga merangkumi elemen lain yang dibincangkan termasuk dari sudut angkasa dan persekitaran.
Katanya, elemen supersonic ditolak kerana ruang udara ketika kejadian berlaku berada dalam keadaan terkawal selain sistem radar juga tidak mengesan terdapat sebarang penerbangan.
Malah beliau berkata, elemen ketiga yang mengatakan ia mungkin berpunca daripada letupan kuari atau aktiviti ekonomi sekitar juga ditolak kerana dengan menggunakan kaedah letupan yang dibenarkan dan dikawal ketat, tidak mungkin ia menimbulkan gegaran kuat di beberapa tempat.
“Perbincangan telah diadakan dengan pakar hari ini dan mengemukakan tiga elemen atau teori di mana kita menolak ketiga-tiganya kerana tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk mensabitkan kejadian,” katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana kejadian seumpama itu pernah berlaku pada tahun 2012 dan 2018 di mana punca insiden kekal misteri sehingga kini.
Dalam pada itu Azizi berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan kerosakan harta benda dan nyawa kesan daripada insiden berkenaan.
“Siasatan akan diteruskan dengan melihat kemungkinan ada pergerakan dalaman di gua-gua baru kapur kesan daripada gegaran tersebut.
“Kita masih merasakan gua-gua ini selamat namun, kita minta pihak berkaitan buat pemeriksaan rapi sekiranya ada kerosakan di gua atau di kawasan pembinaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk Ipoh cemas ekoran gegaran selama beberapa saat dirasai diikuti bunyi kuat seakan dentuman sekitar pukul 11.06 pagi, 21 Oktober lalu.
Tinjauan dalam media sosial mendapati pengguna mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.
Selain itu, kejadian sama turut dirasai penduduk di sekitar Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source