Pernah berdepan dengan kejadian mistik
Jangan ingat cuma orang Melayu atau warga nusantara sahaja ya yang percaya dengan kisah-kisah hantu atau alam mistik.
Artis di negara Barat pun rupa-rupanya percaya dan ramai yang pernah berdepan dengan situasi menakutkan sehinggakan ada antara mereka yang mengalami trauma dalam hidup.
Dalam beberapa siri temu bual dengan media antarabangsa, beberapa selebriti pernah berkongsi kisah bagaimana mereka dibelenggu dengan ketakutan setelah melalui kejadian-kejadian yang menyeramkan.
Sama ada ketika bekerja, mahupun berkaitan dengan kediaman masing-masing.
Berikutan itu, Pancaindera kali ini merangkumkan beberapa artis popular antarabangsa yang mempunyai kisah seram berhubung alam mistik.
Ariana Grande
Sekitar tahun 2013, Ariana mendedahkan dirinya pernah mengalami kejadian menyeramkan apabila tanpa sengaja bertemu dengan entiti yang didakwanya sebagai hantu.
Menurut penyanyi ini ketika itu, dia berada di Kansas dan telah pergi ke sebuah istana yang dikatakan berhantu.
“Saya dan beberapa rakan baik sangat teruja pergi istana tersebut. Malam berikutnya, kami berhasrat untuk ke Stull Cemetery. Ketika berada di situ, saya rasa seperti ada perasaan negatif yang kuat menyelubungi seluruh kereta yang dinaiki dan kami terhidu bau sulfur.
“Biasanya, bau sulfur dikatakan ada hubung kait dengan tanda kehadiran syaitan. Saya rasa seram dan minta rakan yang memandu segera beredar dari situ. Sempat saya turunkan tingkap dan berkata, ‘Kami minta maaf. Kami tidak berniat untuk mengganggu ketenangan anda.’
“Kemudian, saya ambil gambar. Tiba-tiba terdapat tiga wajah yang sangat jelas dalam gambar itu. Mereka adalah wajah-wajah entiti seperti syaitan yang biasa kita lihat dalam buku teks,”katanya.
Vanessa Hudgens
Dalam satu episod program televisyen The Kelly Clarkson Show, Vanessa menceritakan kepada Kelly tentang satu daripada pengalaman supernatural pertamanya ketika dia baru berusia 8 tahun.
“Saya masih ingat ketika bersiap-siap untuk ke sekolah pada usia 8 tahun, ada mainan itik di atas meja makan. Semasa saya mula berjalan, mainan itu turut bergerak seiring dengan saya.
“Saya cuba mengabaikannya untuk seketika kerana ia menakutkan. Hal yang tidak diketahui memang menakutkan. Tapi baru-baru ini, saya mula sedar, ‘Tidak, ini adalah satu anugerah dan sesuatu yang saya boleh lakukan, jadi saya akan menerima ‘kelebihan’ ini.
Selain itu, Vanessa juga mendedahkan bahawa dia kadangkala menggunakan spirit box (alat yang digunakan oleh pemburu hantu untuk menganalisis frekuensi radio) untuk membantunya memahami apa yang dikatakan oleh roh.
Demi Lovato
Sekitar 2013, Demi pernah mendedahkan bahawa kediamannya di Texas Amerika Syarikat sangat berhantu. Kata Demi, bagaimanapun, ia bukan roh jahat, tetapi roh seorang gadis kecil.
“Saya rasa namanya Emily. Saya pernah memanggil seorang medium dan pemburu hantu, dan kedua-duanya memberitahu saya nama yang sama, Emily. Banyak kali saya melihatnya ketika saya membesar. Saya pernah melihatnya dalam almari pakaian saya suatu ketika dulu.
“Malah, ketika saya berumur tiga tahun, ibu ternampak saya bercakap sendirian. Dia bertanya, ‘Kamu sedang bercakap dengan siapa?’ dan saya menjawab, ‘Kawan baik saya, Emily.’
“Dia suka bermain-main. Umurnya mungkin sekitar 11 atau 12 tahun, mungkin lebih muda,”katanya.
Demi turut berkongsi bahawa dia mempunyai hubungan yang kuat dengan alam selepas kematian.
“Saya percaya semua orang boleh menyambung ke bahagian minda itu. Saya rasa saya mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan alam selepas kematian.Apabila saya masuk ke dalam bilik, saya dapat rasa jika sesuatu telah berlaku di sana atau jika sebuah hotel itu berhantu,”ujarnya.
Pada tahun 2021, rancangan pemburuan hantunya, Unidentified with Demi Lovato, disiarkan di Peacock, di mana dia dilihat berkomunikasi dan menyanyi kepada roh yang ‘tidak suka lelaki’.
Jessica Alba
Jessica Alba pernah mengalami kejadian supernatural semasa tinggal di rumah keluarganya ketika kecil.
“Saya tak tahu apakah itu. Tetapi, saya rasa seperti ada tekanan, dan saya tak boleh bangun ketika sedang tidur, tak boleh menjerit, tak boleh bercakap, tak boleh buat apa-apa.
“Apa yang pasti, ada sesuatu telah menarik selimut dan saya benar-benar tak boleh bangun dari katil. Setelah berjaya bangun, saya menjerit dan lari ke bilik ibu bapa. Saya rasa tak pernah tidur di rumah itu banyak kali selepas itu.
“Memang ada sesuatu di rumah lama ibu bapa saya namun sehingga sekarang, tak tahu apakah itu. Saya tak dapat benar-benar jelaskan,”ujarnya.
Keanu Reeves
Keanu Reeves dan pengasuhnya pernah melihat hantu muncul di dalam biliknya, sementara adiknya sedang tidur nyenyak di sebelah mereka. Perkara itu didedahkannya semasa menjayakan program Jimmy Kimmel sekitar 2014.
“Saya mungkin berumur sekitar enam atau tujuh tahun ketika kejadian itu berlaku. Kami sekeluarga baru tiba dari Australia. Renata, pengasuh kami, berada di dalam bilik, adik saya sedang tidur, dia duduk di sana, dan saya sedang bersantai.
“Terdapat satu pintu, dan tiba-tiba, terdapat jaket muncul melayang melalui pintu itu. Jjaket kosong, tanpa badan, tanpa kaki, hanya melayang di situ. Kemudian, ia hilang.
“Saya masih kecil, dan saya fikir, ‘Oh, itu menarik,’ dan saya melihat ke arah pengasuh, dan dia kelihatan terkejut dan takut. Saya pun terfikir, ‘Oh, jadi itu memang betul-betul terjadi’, terus-terang seakan tidak percaya dengan apa yang terjadi,”ujarnya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source