Zii Jia berisiko terlepas WTF 2024
KUALA LUMPUR – Peluang perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 makin malap selepas tersingkir di pusingan pertama China Masters.
Pada perlawanan yang berlangsung di Shenzhen Arena sebentar tadi, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dipaksa pulang awal apabila tewas 14-21, 21-13, 13-21 kepada Lakshya Sen dari India.
Kekalahan itu sekali gus menggugat peluang Zii Jia untuk melayakkan diri ke WTF 2024 di Hangzhou, China Disember depan memandangkan kedudukannya dalam ranking Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih belum selamat.
Meskipun perlu bergantung kepada keputusan pemain-pemain lain, namun pemain No.7 dunia itu menaruh keyakinan dia akan melayakkan diri ke WTF 2024 yang menjadi kejohanan penutup tirai musim ini.
“Ini adalah kejohanan terakhir sebelum Jelajah Dunia Akhir tetapi sekarang saya perlu bergantung kepada keputusan (pemain lain). Bagaimanapun, saya harap boleh layak beraksi di kejohanan itu nanti.
“Secara peribadi, saya agak yakin untuk layak (ke WTF) tahun ini, terutamanya peluang saya lebih besar selain berada di kedudukan agak baik. Saya harap boleh layak nanti,” katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.
Pada ketika ini, Zii Jia berada pada kedudukan keenam ranking Jelajah Dunia dengan tujuh pemain teratas akan layak sementara Viktor Axelsen selaku juara Olimpik bakal melengkapkan kuota lapan pemain ke WTF.
Secara kasar, bekas juara All England itu akan layak ke WTF bulan depan sekiranya Kenta Nishimoto atau Jonatan Christie gagal memenangi China Masters selain perlu mengharapkan Lin Chun Yi tidak layak ke perlawanan akhir.
Turut tersingkir di pusingan pertama hari ini adalah beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas 18-21, 11-21 kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Sementara itu, beregu campuran kebangsaan, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menyingkirkan Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh dari Taiwan dengan kemenangan 21-17, 21-12. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source