Sri Pahang tekad kecewakan Selangor FC
KUANTAN – Sri Pahang FC tidak akan terjerat dengan permainan psikologi yang mengatakan lawan mereka, Selangor FC kini berada dalam situasi keletihan kerana baharu saja selesai aksi Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) menentang Muangthong United, Khamis lalu.
Menjelang aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad bertegas Red Giants yang ini dilatih oleh Katsuhito Kinoshi tetap memiliki kualiti tersendiri.
Jurulatih dari Singapura itu mahu anak buahnya lebih bersedia termasuk jika perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.
“Bahagian serangan dan tengah adalah kekuatan pasukan Selangor. Oleh itu pemain perlu kekal fokus dan tidak boleh lalai terutama jangan mempersia-siakan peluang apabila berada di kawasan lawan.
“Apa yang penting semua pemain dapat menyekat serangan dan pada masa sama berusaha untuk menjaringkan gol. Saya tidak mahu kesilapan saat akhir seperti perlawanan sebelum ini berulang,” katanya.
Pada aksi pertama di Temerloh, Sabtu lalu, Nikola Jambor menyelamatkan maruah Selangor FC apabila menafikan kelebihan jaringan Sean Selvaraj untuk berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.
Sentuhan Kpah Sherman, Manuel Hidalgo dan Selvaraj pastinya menjadi taruhan buat Tok Gajah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source