Bukti sokongan lahirkan atlet berbakat
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menerusi Belanjawan 2025 telah memperuntukkan RM3 juta buat kali pertama kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bagi persediaan atlet menghadapi Sukan Deaflympics 2025 di Tokyo, Jepun pada 15 hingga 26 November tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan dana tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menyokong pembangunan sukan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Dana ini bukan sahaja pertama kali diberikan dalam jumlah besar tetapi juga bukti sokongan kukuh kerajaan kepada MSDeaf dalam usaha melahirkan atlet berbakat,” katanya semasa sidang media Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik kali ke-10 di Kuala Lumpur malam ini.
Dalam pada itu, Hannah turut memuji kecekapan MSDeaf apabila menganjurkan kejohanan tersebut meskipun menerima notis singkat dalam masa dua bulan.
“Mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai tuan rumah dengan cemerlang. Kejayaan hari ini termasuk pingat emas dalam sukan catur adalah bukti kemampuan atlet kita untuk bersaing di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Hannah turut menjelaskan dana RM3 juta itu akan digunakan untuk memperkukuh program latihan pusat, meningkatkan penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa dan memperbaiki kemudahan sedia ada.
“Fokus utama adalah menyediakan platform terbaik kepada atlet untuk menyerlahkan potensi mereka. Dengan sokongan ini, kami berharap lebih ramai ibu bapa akan mendaftarkan anak-anak mereka yang OKU untuk melibatkan diri dalam sukan,” katanya.
Kejohanan Sukan Pekak Asia Pasifik 2024 berlangsung di Kuala Lumpur ketika ini adalah kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah sejak 1996.
Penganjuran kejohanan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi negara tetapi juga mampu memperkukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source