Tindakan sita akaun Bersatu ikut undang-undang – SPRM
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, penyitaan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin bin Wan Ladin berkata, tindakan tersebut tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Sebenarnya penyitaan akaun bank Bersatu ini ada peruntukan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.
“Sitaan akaun bank tersebut adalah kerana ia menjadi ‘subject matter’ (perkara subjek) kepada siasatan serta pendakwaan. Oleh itu, ia tidak boleh dilepaskan sehingga perbicaraan selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, Seksyen 50(1) berkaitan penyitaan harta alih dalam institusi kewangan membolehkan Pendakwa Raya (DPP) mengarahkan supaya harta alih disita dan tidak dilupuskan sehingga perintah berkenaan diubah atau dibatalkan.
Mengulas isu tempoh perintah penyitaan, Wan Shaharuddin berkata, Seksyen 52A AMLATFPUAA 2001 menetapkan perintah penyitaan akan terhenti selepas 12 bulan sekiranya tiada pendakwaan dibuat.
“Namun, kes ini telah mendapat izin mendakwa, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu telah didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) akta yang sama,” katanya.
Wan Shaharuddin memaklumkan, Bersatu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 29 Mei 2023 bagi mencabar tindakan penyitaan akaun bank tersebut.
“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan itu pada 30 Oktober 2023 dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 September 2025,” ujarnya.
Kata beliau, orang ramai diminta memahami bahawa tindakan pihak berkuasa adalah berdasarkan lunas undang-undang, manakala pihak yang dituduh diberi peluang membela diri.
“Bagi yang dituduh, peluang membela diri serta membuktikan mereka tidak bersalah ada tempatnya di sisi undang-undang,” tegasnya.
Terdahulu, Muhyiddin Yassin mengkritik SPRM berhubung tindakan menyita akaun partinya.
Muhyiddin mendakwa tindakan tersebut melampaui batas dan tidak berasas.
Beliau menyatakan bahawa akaun-akaun yang disita itu masih diperlukan untuk aktiviti parti dan membayangkan kemungkinan tindakan undang-undang terhadap SPRM. – KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source