Ramai pengganti jika Tengku Zafrul sertai PKR – Pemuda UMNO
BUKIT GANTANG: Pemuda UMNO tidak bimbang berhubung dakwaan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz akan menyertai PKR, kerana percaya ramai yang boleh menggantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, UMNO sudah lali dengan lumrah pemimpin kanan meninggalkan parti terutama selepas kekalahan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2018.
Jelasnya, UMNO adalah sebuah parti lama dan mempunyai asas kukuh dan tidak terjejas jika ada pemimpin yang meninggalkan parti.
“Orang hendak ‘curi’ ahli parti kita bukan baru. Kita sudah melalui keadaan itu. Hilang satu, ada beribu yang hendak menggantikan tempat tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Sollehin berpandangan Tengku Zafrul adalah muka baharu dalam UMNO dan keadaan itu menyebabkan beliau mungkin masih belum ada sentimen kepartian yang kuat.
“Tengku Zafrul ini pun bagi saya masih baharu lagi dalam UMNO. Dia muncul semasa wabak Covid-19 tempoh hari. Mungkin sentimen kepartian bagi beliau tidak begitu kuat. Tapi saya harap ia sekadar ura-ura (Zafrul sertai PKR),” katanya.
Beliau membandingkan dengan beberapa orang lama seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shahril Hamdan serta Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang masih menunjukkan kesetiaan kepada UMNO walaupun diketepikan.
Ditanya sama ada berita berkenaan Tengku Zafrul itu akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan, Mohammad Sollehin perkara itu terserah kepada kepimpinan tertinggi parti terlibat.
Sementara itu ahli jawatankuasa Majlis Belia Malaysia, Ibnu Rasyeed Mat Isa menang sebagai Ketua Pemuda Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang bagi sesi 2023-2026 selepas pemilihan terpaksa diadakan semula ekoran krisis kepimpinan yang berlaku.
Ibnu Rasyeed berkata, beliau mahu menarik semula golongan muda untuk menyokong UMNO menerusi program-program mendekati rakyat sebagai persediaan menghadapi PRU seterusnya yang dijangka diadakan pada lewat 2027. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source