Spekulasi Tengku Zafrul boleh timbulkan rasa curiga
IPOH: Desas-desus Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz akan menyertai PKR boleh menimbulkan rasa curiga dan hilang kepercayaan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melihat keadaan sedemikian adalah tidak baik untuk jangka masa panjang bagi mana-mana gabungan.
“Saya tiada maklumat tepat berkenaan Tengku Zafrul. Tapi sebagai orang politik, saya berpandangan bagi mana-mana gabungan, elakkan daripada membiarkan perkara itu berlaku.
“Sebab ia akan menimbulkan rasa curiga dan hilang kepercayaan antara satu sama lain. Dan ahli-ahli parti pun (beranggapan) tidak perlu untuk bersetia dengan satu-satu parti. Untuk jangka masa panjang bagi mana-mana gabungan adalah tidak baik,” katanya selepas majlis apresiasi gerakan koperasi negeri Perak tahun 2024 di sini hari ini.
Beliau mengulas desas-desus Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Zafrul mahu menyertai dalam PKR.
Perak merupakan kerajaan negeri terawal yang dibentuk menerusi kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 dengan Saarani diangkat sebagai Menteri Besar meskipun BN mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling sedikit.
Mengulas lanjut, Saarani menyokong kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengelakkan daripada membenarkan sesama ahli parti dalam kerjasama tersebut menyertai parti berlainan.
“Yang ini kita kata daripada UMNO nak masuk PKR. Kemungkinan pula ada daripada PKR hendak masuk UMNO. Keadaan ini tidak cantik. Kepada ahli parti, bersetialah kepada satu parti.
“Tindakan sedemikian tidak harus dijadikan budaya dan jika tidak dibendung ia akan memberi isyarat yang tidak baik terutama kepada generasi muda,” katanya. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source