Aktivis gagal dalam rayuan pendakwaan terhadap Firdaus Wong, Zamri Vinot
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan seorang aktivis untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua mualaf yang didakwa menghina kepercayaan dan amalan orang bukan Islam.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas mendapati permohonan S. Shashi Kumar yang juga Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), selaku perayu tidak mempunyai merit.
“Mahkamah ini mendapati, kedua-dua rayuan adalah tidak bermerit, maka, rayuan perayu ditolak dan keputusan Mahkamah Majistret yang disahkan Mahkamah Tinggi, dikekalkan,” kata hakim Ahmad Zaidi.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohd. Nazlan Mohd.Ghazali dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan.
Semasa prosiding hari ini, Shashi diwakili peguam S. Ravichandran, manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail.
Sebelum ini, Shashi memfailkan permohonan untuk memulakan pendakwaan tertutup terhadap dua mualaf yang dikenali sebagai Firdaus Wong dan Zamri Vinot kerana menghina agama bukan Islam, di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 8 Januari 2021.
Bagaimanapun, pada 3 September 2021, Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali (ketika itu) menolak permohonan berkenaan, atas alasan siasatan polis terhadap mualaf Firdaus Wong masih diteruskan dan seorang lagi mualaf iaitu Zamri Vinot adalah Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian turut mengekalkan keputusan menolak permohonan kedua-duanya untuk meneruskan pendakwaan peribadi itu tahun 2023.
Terdahulu polis menyiasat kedua-dua pendakwah itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan menimbulkan permusuhan antara kumpulan berbeza atas alasan agama atau kaum.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya dua tahun, dengan tempoh tahanan maksimum lima tahun.
Shashi dalam akuan berkanunnya (SD) berkata, dia membuat laporan polis terhadap Firdaus pada Januari 2018 selepas mendakwa melihat beberapa hantaran di media sosial.
Aktivis itu berkata, pada tahun yang sama, dia menghantar memorandum kepada Perdana Menteri (ketika itu) Tun Dr. Mahathir Mohamad, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi, Kementerian Perpaduan Negara, jabatan Hal Ehwal Islam dan Pejabat Peguam Negara (AGC).
Dalam SD berasingan, Shashi mendakwa dia juga telah membuat laporan polis terhadap Zamri pada Jun 2020, kerana dikatakan menghina amalan Hindu di akaun Facebooknya.
Shashi juga mendakwa polis tidak menjawab pertanyaannya mengenai status laporan terhadap dua pendakwah itu.
Firdaus ialah presiden dan pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), manakala Zamri ialah presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source