PBB gesa rangsangan bantuan besar-besaran untuk Syria
DAMSYIK: Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher menggesa rangsangan bantuan besar-besaran untuk Syria ketika negara itu berusaha membina semula kekuatan masyarakatnya selepas penyingkiran bekas Presiden, Bashar al-Assad.
Jelas Fletcher, Syria memerlukan sokongan dana yang besar dengan tujuh daripada 10 orang di negara itu hidup dalam kedaifan dan amat memerlukan bantuan.
“Saya mahu meningkatkan sokongan antarabangsa secara besar-besaran, tetapi usaha itu kini bergantung kepada penderma. Syria sejak dahulu mengalami masalah kekurangan dana yang boleh dikatakan amat memalukan dan kini ada peluang pembaharuan yang muncul.
“Rakyat Syria cuba pulang apabila selamat untuk berbuat demikian, untuk membina semula negara mereka, untuk membina semula komuniti dan kehidupan mereka.
“Kami perlu berada di belakang mereka dan bertindak balas terhadap detik harapan ini. Dan jika kita tidak melakukannya dengan pantas maka saya khuatir peluang ini akan tertutup,” kata Fletcher dalam temu bual telefon ketika melawat Syria.
Pegawai PBB berkata, sehingga kini hanya satu pertiga daripada rayuan dana AS$4 billion (RM18 billion) untuk membantu Syria berjaya dibiayai.
“Terdapat keperluan kemanusiaan yang besar seperti air, makanan dan tempat tinggal. Selain itu wujud keperluan lain dari segi perkhidmatan kerajaan, kesihatan, pendidikan, dan kemudiannya keperluan pembinaan semula jangka panjang serta pembangunan.
“Kami perlu bercita-cita tinggi dalam permintaan kami kepada penderma. Rakyat Syria menuntut kami menyampaikan, dan mereka berhak menuntut kami menyampaikan.
“Dunia tidak memberikan bantuan kepada rakyat Syria selama lebih daripada satu dekad,” tegasnya.
Ketika lawatannya, Fletcher bertemu wakil Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) yang menerajui serangan menggulingkan Assad, termasuk ketuanya Abu Ahmed al-Jolani dan Perdana Menteri Interim, Mohammad Al-Bashir.
Fletcher berkata, beliau menerima jaminan kuat daripada pentadbiran baharu Syria bahawa pekerja bantuan akan mendapat akses yang diperlukan di lapangan.
“Kami memerlukan akses tanpa halangan dan sekatan untuk berkhidmat. Kami memerlukan lintasan terbuka supaya sejumlah besar bantuan dapat diagihkan. Kami perlu memastikan pekerja kemanusiaan boleh pergi ke mana mereka perlu tanpa sekatan, dengan perlindungan.
“Saya menerima jaminan sekuat mungkin daripada pihak atasan pentadbiran sementara bahawa mereka akan memberi kami sokongan yang kami perlukan. Justeru kita akan melihatnya dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Katanya, kerajaan Assad telah lama mengenakan sekatan ke atas organisasi kemanusiaan dan pengagihan bantuan di kawasan yang tidak berada di bawah kawalannya.
“Tetapi ini juga ujian untuk pentadbiran baharu. Bolehkah mereka menjamin persekitaran yang lebih permisif daripada yang kami lalui di bawah rejim Assad?
“Saya percaya kami boleh bekerja dalam perkongsian itu, tetapi ia adalah ujian besar untuk kita semua,” tambahnya.-AFP
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source