Nahas ngeri Melaka: “Kami tahu mereka maut selepas tengok berita” – Keluarga
ALOR GAJAH – Waris lima sekeluarga yang maut dalam nahas di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) malam tadi tidak menyangka laporan berita berkenaan kemalangan ngeri itu membabitkan ahli keluarga mereka sendiri.
Menurut Nur Aqila Mazupi, 30, dia hanya mengetahui kejadian menyayat hati yang menimpa keluarga abangnya, Khairul Izwan Mazupi, 32, selepas melihat laporan berita lewat malam tadi.
Ujarnya, dia terus menghubungi pihak polis selepas melihat salah sebuah kenderaan terlibat adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima seperti yang dinaiki mangsa lapan sekeluarga.
“Saya mengetahui kejadian nahas selepas melihat berita sebelum menghubungi polis untuk mengesahkan nombor plat kenderaan serta jenis kereta dinaiki.
“Mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Selangor selepas meluangkan masa bersama keluarga kakak ipar di Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Ujarnya, Khairul Izwan dan isterinya, Fadzlenna Ramli, 32, masing-masing merupakan pembantu perubatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang.
Dalam nahas tersebut, turut maut adalah anak pasangan itu, Muhammad Umar, 2, dan bapa kepada Fadzlenna, Ramli Ab. Wahab, 66, serta seorang lagi yang identitinya belum dikenal pasti.
Dua lagi anak mereka, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, terselamat, namun masing-masing dilaporkan parah serta mengalami kecederaan ringan.
Tambah Nur Aqila, paling menyedihkan apabila mengenangkan pasangan suami isteri itu sempat mengadakan majlis sambutan hari jadi untuk ketiga-tiga anak mereka pada dua minggu lalu.
“Tidak sangka pula majlis sambutan hari jadi ketiga-tiga anak saudara saya itu yang diraikan dalam satu majlis seperti memberi petanda sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah diraikan begitu.
“Waktu berjumpa dengan saya pagi Sabtu lalu sebelum mereka bertolak ke Melaka Muhammad Umar begitu bersungguh melambai saya sehingga hilang dari pandangan,” ujarnya sebak.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tujuh individu terkorban dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan termasuk sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, MPV Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.
Dalam nahas itu turut terkorban adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, serta penumpang bas persiaran itu yang belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kemalangan itu berlaku selepas tayar lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya. – KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source