UiTM lakar sejarah IPT pertama terima anugerah YouTube
SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama negara menerima Anugerah Pencipta Perak daripada platform YouTube.
Pengiktirafan itu diterima selepas saluran rasminya, UiTM Channel berjaya melepasi 100,000 langganan pada pertengahan September lalu.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, saluran yang mula beroperasi pada 1 April 2023 itu kini mempunyai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 penerbitan video.
“Saluran ini berfungsi menyampaikan maklumat berbentuk video kepada komuniti universiti dan masyarakat awam.
“Selain itu, ia menjadi platform penstriman langsung yang mendapat tontonan tinggi termasuk ketika Istiadat Konvokesyen UiTM,” katanya hari ini.
Menurut beliau, UiTM Channel yang diuruskan Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif Pejabat Komunikasi Strategik itu membuktikan usaha strategik universiti dalam memanfaatkan media digital.
“Ia menjana pendapatan sejak awal 2020 dan membuka peluang kepada universiti untuk terus memperluaskan kandungan kreatif inovatif yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
“UiTM turut mencatat pencapaian sama melalui platform TikTok yang kini mempunyai lebih 100,000 pengikut,” ujarnya.
Kata Shahrin, pencapaian berkenaan membuktikan visi universiti untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital.
Tambah beliau, saluran YouTube dan TikTok rasmi UiTM sudah menerima verifikasi rasmi daripada platform itu sekali gus mengukuhkan kredibiliti jenama universiti di dunia digital.
“UiTM Channel turut menjadi IPT pertama memperkenalkan platform e-dagang melalui TikTok.
“Inisiatif itu mempromosikan produk universiti kepada umum seperti Beg Kuning UiTM yang menampilkan inovasi universiti dalam meneroka peluang ekonomi digital,” katanya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source