Dipenjara sebab dadah, Tony Eusoff imbau salah sendiri
BUKIT JALIL – Meledak isu selebriti tanah air terjebak dadah, pelakon Tony Eusoff turut berkongsi pengalamannya dipenjara selama lapan bulan atas kes sama pada 2016.
Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 48, menyifatkan tempoh tersebut sebagai titik terendah dalam hidup, yang turut mengecewakan hati ibu tercinta.
“Saya rasa sangat bersalah terhadap ibu saya. Masa ibu hantar saya ke lapangan terbang dan peluk buat kali terakhir sebelum dipenjara, air mata saya menitis.
“Sebagai anak, tiada apa lebih menyedihkan selain melihat ibu menangis kerana perbuatan kita sendiri.
“Itu yang buat saya sedar dan berazam menjadi lebih matang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Selepas dibebaskan, pelakon filem Baik Punya Cilok itu mengakui dilanda keresahan apabila ingin berdepan dengan masyarakat.
“Ada yang cakap saya dianiaya, tapi hakikatnya itu kesalahan sendiri. Tiada siapa boleh dipersalahkan. Saya hanya teruskan hidup dan hadapi segalanya.
“Ketika nak keluar, saya rasa risau dengan penerimaan orang. Tetapi, ada individu tidak dikenali datang memberi semangat.
“Bagi saya, orang Malaysia mudah menyayangi dan memaafkan, asalkan kita berusaha memperbaiki diri,” jelasnya ketika ditemui selepas pelancaran Siri Original Unifi TV, Din Tiger, di sini, hari ini.
Sedar perbuatan tersebut menyalahi undang-undang, Tony bagaimanapun menyeru masyarakat agar tidak tergesa-gesa menjatuhkan hukuman terhadap individu yang tersilap langkah tanpa memahami latar belakang mereka.
“Jangan cepat menilai. Tunggu sehingga kes selesai, mungkin ada sebab mereka buat begitu. Kadang-kadang tekanan hidup mendorong seseorang ke jalan salah.
“Kita bukan Tuhan, selagi kita tak baik mana, jangan hakimi orang lain. Biarkan undang-undang menentukan,” tegasnya.
Pada April 2016, Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan kepada Tony selepas didapati memiliki dadah terkawal kelas A bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Ketika ini, kecoh apabila seorang lagi pelawak popular ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan di Jeddah kerana atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menunaikan umrah.
Terdahulu, pelawak Along Cham pula mengakui tidak bersalah atas kesalahan memiliki ganja dan kes sedang dibicarakan di mahkamah. – KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source