Tiada ‘kebocoran’ perairan di Langkawi
PETALING JAYA: Tiada ‘kebocoran’ di perairan negara khususnya di Pulau Langkawi sepanjang dua tahun lalu membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menafikan terdapat beberapa cubaan etnik itu untuk menceroboh masuk ke pulau peranginan tersebut melalui jalan laut, namun berjaya dipatahkan menerusi Op Guard yang dilancarkan sejak 26 Disember 2022.
Op Guard merupakan operasi bersepadu melibatkan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai satu tindakan bersepadu menghalang cubaan pencerobohan perairan negara.
Katanya, kali terakhir PATI etnik Rohingya masuk ke negara melalui perairan pulau itu adalah pada 23 Disember 2022 melibatkan 36 orang.
“Punca Pulau Langkawi menjadi destinasi pilihan PATI Myanmar, khususnya etnik Rohingya adalah berdasarkan kepada beberapa faktor antaranya faktor geografi.
“Kedudukan pulau itu berada di utara Selat Melaka dan di selatan Laut Andaman serta berhampiran antara Malaysia dan Thailand dikelilingi oleh gugusan 99 pulau yang menjadi laluan strategik PATI Myanmar Ke Malaysia.
“Faktor kedua adalah faktor siklon angin yang bermula pada Disember hingga Mac 2025 merupakan tempoh yang sesuai utuk PATI Myanmar berlayar ke Malaysia atau negara-negara sekitarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Rosli berkata, status Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam turut menyumbang kepada kehadiran etnik Rohingya yang merupakan penganut ajaran sama.
“Negara seperti Malaysia dan Indonesia juga merupakan negara Islam, menjadikan kedua-dua negara ini sebagai destinasi utama mereka. Ini sangat penting bagi mereka untuk mencari persekitaran hidup yang baik dan dalam masa sama dapat membantu mereka mempraktikkan suruhan agama sebagai umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi kemasukan bot PATI Myanmar ke Langkawi adalah dengan menggunakan teknik penyamaran iaitu pergerakan seakan-akan bot nelayan tempatan, selain mereka bergerak antara waktu malam sehingga awal pagi.
“Walau bagaimanapun, Maritim Malaysia tidak menjadikan kekangan itu sebagai batu penghalang yang mana aset-aset laut dan udara diatur gerak dan diletak dalam sektor Op Guard 4.0 bagi mengawal perairan sempadan daripada dicerobohi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menggesa agensi keselamatan dapat mengambil tindakan tegas memastikan perairan negara sekitar Langkawi, tidak lagi dibolosi bot membawa PATI.
Ia susulan laporan bot membawa 196 etnik Rohingya mendarat di Pantai Awam Teluk Yu, Langkawi, pada pukul 3.25 pagi, sebelum semua pelarian terbabit ditahan pihak berkuasa.
Susulan itu, dua lagi bot membawa kira-kira 300 PATI dari Myanmar diusir Maritim Malaysia yang berjaya mengesan kedudukan mereka di dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.- UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source