Mohd. Nazri didakwa bukan sebab kes tular
IPOH: Pegawai penyiasat kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa pendakwaan terhadap Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak dijalankan segera berikutan kes tersebut tular di media sosial.
Sebaliknya, saksi pendakwaan ke-32, Asisten Superintenden Chua Sze Yuan, 38, berkata, pendakwaan terhadap Mohd. Nazri itu dibuat selepas mendapat izin pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bahawa pendakwaan terhadap pegawai polis itu diteruskan meskipun beberapa laporan berkaitan kes tersebut belum tersedia.
Mior Faridalathrash: Setuju dengan saya, pada masa tertuduh didakwa di mahkamah, tiada laporan kimia, tiada laporan dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan tiada laporan bedah siasat telah siap dalam siasatan?
Sze Yuan: Setuju
Mior Faridalathrash: Kejadian itu berlaku pada 15 Disember 2023 dan arahan tuduh diterima pada 17 Disember 2023. Setuju dengan saya, disebabkan kes ini tular dan tersebar di media sosial menyebabkan pihak pendakwaan memanggil untuk kes ini didakwa dengan seberapa segera?
Sze Yuan: Tidak setuju
Perkara itu dinyatakan Sze Yuan yang bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika pemeriksaan balas oleh Mior Faridalathrash di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pada prosiding sama, Sze Yuan juga tidak bersetuju dengan cadangan Mior Faridalathrash yang mengatakan beliau tidak terlibat langsung dengan sebarang siasatan pada 15 Disember 2023 ekoran siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelas saksi tersebut, beliau diminta membantu siasatan kes berkenaan meskipun mengambil alih kes pada 16 Disember 2023.
Sementara itu, ketika dirujuk peguam bela, M. Athimulan sama ada beliau memahami maksud tentatif terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap Mohd. Nazri seperti mana yang dibacakan dalam pernyataan bertulisnya sebelum ini, Sze Yuan berkata, maksud tentafif ialah penama dituduh terlebih dahulu sementara menunggu laporan lain siap.
Athimulan: Boleh saya katakan tentatif ini tidak konklusif?
Sze Yuan: Betul
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui.
Pihak peguam bela pula dibarisi Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman manakala peguam pemerhati dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri, 46, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.
Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet disambung esok. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source